• Nancy Kempen Guna Bahasa Jawa

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 4 May 2018
    A- A+


    SADONG JAYA – Memasuki hari ketujuh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Batang Sadong mengambil pendekatan sedikit berbeza ketika sesi bersama masyarakat di Kampung Sadong Jaya Ulu, di sini.

    Datuk Seri Nancy Shukri yang juga penyandang kerusi itu memikat masyarakat Jawa di kampung tersebut apabila berkempen bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu Sarawak malahan di selang-seli dengan bahasa Jawa.

    “Aku teko kene gowo pembangunan ninggo riko wong men penak gawek kejo arian (Saya datang ke sini membawa pembangunan untuk memudahkan anda semua menjalankan kehidupan seharian).

    “Macem-macem wes digawek perintah ninggo rikowong, surau baru, dewan baru karo jeng paling baru saiki, tempat main bol jeng gedi karo apik ninggo wong enom gawek aktiviti (Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk anda semua seperti surau baharu, dewan baharu serta sebuah gelanggang futsal yang sangat besar dan cantik untuk digunakan terutamanya para remaja mengadakan aktiviti riadah dan bersukan),” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 100 komuniti Jawa di kampung tersebut.

    Nancy yang bertanding buat kali ketiga di Parlimen tersebut berkata kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di kawasan tersebut untuk kemudahan rakyat.

    “Keadaan jalan raya semakin baik, infrastruktur ini bukan sahaja beri kemudahan malahan dari segi ekonomi penduduk dapat bawa produk mereka seterusnya membantu meningkatkan ekonomi masyarakat. Contoh paling jelas ialah pembinaan Jambatan Batang Sadong yang membawa kebaikan serta memudahkan masyarakat untuk berulang-alik,” katanya.

    Ketika ditemui Bernama, Nancy berkata untuk pilihan raya kali ini, beliau melakukan kempen secara fokus kepada kumpulan sasaran yang telah ditetapkan.

    “Apabila bertemu kumpulan sasaran ini, saya tekankan pencapaian kerajaan BN supaya mereka boleh melihat apa yang kerajaan sumbang serta laksanakan kepada mereka. Sebagai contoh kepada kumpulan yang melaksanakan aktiviti ekonomi saya terangkan kepada mereka perkembangan, perancangan serta pencapaian kerajaan,” katanya.

    Diminta mengulas pendekatan diambil apabila berbahasa Jawa ketika berkempen, Nancy berkata langkah itu diambil agar bersesuaian dengan keadaan setempat.

    “Kawasan ini merupakan penempatan masyarakat Jawa, ini adalah kaedah dalam menghubungkan anda dengan rakyat, jadi saya kena belajar (berbahasa Jawa) untuk sesuaikan dengan keadaan,” katanya yang juga boleh berbahasa Iban. – BERNAMA
  • No Comment to " Nancy Kempen Guna Bahasa Jawa "