• Nampak 'Lembaga Hitam' Terbang Di Depan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 14 May 2018
    A- A+

    “Kalaulah saya memandu laju mungkin bumbung zink akan menghempap kereta dan menyebabkan kami tercedera,” kata pengguna jalan raya Hendrick Chee, 30, yang nyaris terkena bumbung zink diterbangkan ribut di Jalan Kampung Pokok Mangga, Melaka, malam tadi.

    Kejadian 11.20 malam itu mengakibatkan bumbung hadapan pusat jualan kereta terpakai musnah selepas diterbangkan kira-kira lima meter di atas jalan raya.

    Chee berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan menghantar rakannya di kawasan perumahan berhampiran dan cuaca ketika itu hujan lebat disertai ribut dan angin.

    “Disebabkan keadaan gelap saya memandu perlahan dan tiba-tiba saya ternampak seakan ‘lembaga hitam’ terbang kira-kira 50 meter di hadapan.

    “Kami berdua bersyukur bumbung zink yang besar itu tidak menghempap kereta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam sebelum lapan anggota bersama komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

    “Pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa hanya membabitkan struktur bumbung premis.

    “Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja pembersihan selain terpaksa menggunakan pemotong besi bagi mengalihkan kesemua runtuhan bumbung,” katanya.

    Beliau berkata, kerja pembersihan hanya siap kira-kira tiga jam kemudian sebelum laluan dibuka semula untuk pengguna.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Nampak 'Lembaga Hitam' Terbang Di Depan "