• Najib tinjau kawasan pembinaan kolam takungan air di Chini

    Reporter: Admin
    Published: Sunday, 6 May 2018
    A- A+
    Gambar Bernama
    PEKAN, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa meninjau lokasi cadangan pembinaan kolam takungan air di kawasan penyadap Sungai Mentiga, Loji Rawatan Air Chini di sini.

    Projek pembinaan di kawasan penyadap sedia ada bernilai RM12.3 juta itu merupakan sebahagian daripada Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Rancangan Felda Seluruh Negara di Bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

    Pembinaan kawasan takungan seluas 10.8 hektar itu dilaksanakan oleh Felda berdasarkan keperluan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk memastikan masalah bekalan air di kawasan Felda Chini dapat diatasi.

    Melalui taklimat oleh HLA Associates Sdn Bhd, syarikat konsultan bagi pembinaan itu, Perdana Menteri dimaklumkan takungan itu apabila siap kelak mampu menyimpan kapasiti air selama 14 hari.

    Najib juga diberi jaminan projek yang dijangka siap penghujung 2019 itu tidak melibatkan pengambilan tanah orang awam dengan tender projek dijangka dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini.

    Antara lain, projek itu bermatlamat membekalkan bekalan air terawat yang mencukupi kepada penduduk di gugusan Felda Chini dan kawasan sekitar.

    Ia juga bertujuan memastikan bekalan air mentah sentiasa dapat dibekalkan ke Loji Rawatan Air Chini termasuk pada musim kemarau.

    Najib dalam sesi taklimat tersebut menekankan langkah proaktif itu perlu dilakukan agar masalah bekalan air terawat, khususnya di kawasan Felda Chini dapat diatasi segera. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib tinjau kawasan pembinaan kolam takungan air di Chini "