• Mendiang Daniel Tajem Pemimpin Tidak Lokek Ilmu

    Reporter: M. H. W.
    Published: Monday, 28 May 2018
    A- A+

    KUCHING - Mendiang Datuk Seri Daniel Tajem adalah seorang yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu, dan seorang pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di tahap paling tinggi, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    "Saya berpeluang berkhidmat di bawah kepimpinannya sebagai Menteri Muda Pertanian dan Pembangunan Komuniti, dan banyak yang saya belajar daripada mendiang," katanya ketika ditemui semasa melawat kediaman mendiang di sini pagi ini.

    "Mendiang yang bertanggungjawab menggerakkan penubuhan persatuan-persatuan nelayan dan peladang di negeri Sarawak satu ketika dahulu. Saya amat terasa kehilangan seorang rakan, dan Sarawak pula kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa," tambahnya.

    Datuk Seri Daniel Tajem, 82, bekas timbalan ketua menteri Sarawak meninggal dunia di kediaman beliau di Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya di sini kira-kira pukul 7 pagi semalam selepas mengadu sesak nafas, dan dijangka akan dikebumikan di Nirvana Bau pada hari Rabu ini.

    Antara yang turut mengunjungi kediaman mendiang pagi ini ialah isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar. - BERNAMA
  • No Comment to " Mendiang Daniel Tajem Pemimpin Tidak Lokek Ilmu "