• Mekah Siap Sedia Umrah Ramadan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 15 May 2018
    A- A+


    MEKAH: Semua organisasi kerajaan dan swasta sudah bersiap sedia untuk menyambut jemaah yang menunaikan umrah dalam bulan Ramadan ini.

    Saudi Gazette yang memetik Emir Mekah, Putera Khaled Al-Faisal melaporkan, barisan pentadbiran bandar raya ini bersedia untuk menempatkan semua tenaga kerja, bantuan kewa­ngan dan sumber teknikal bagi memastikan para jemaah dapat melakukan umrah dengan lancar serta tenang.

    Jelasnya, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud telah mengeluarkan arahan kepada semua pihak yang terlibat supaya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada tetamu Allah yang mengunjungi Mekah.

    Sehubungan itu, lebih 10,000 petugas wanita dan lelaki serta petugas bermusim diarahkan untuk membantu para jemaah memenuhi keperluan mereka sepanjang berada di Mekah dalam bulan Ramadan.

    Para petugas berkenaan juga diberi tanggungjawab memastikan seluruh kawasan Masjidilharam dalam keadaan bersih dan selamat.

    Ketua Hal Ehwal Dua Kota Suci, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais memaklumkan bahawa pihaknya menyediakan pelan Ramadan yang akan berlanjutan sehingga 29 Jun atau 15 Syawal.

    Beliau berkata, pihaknya akan menaik taraf pintu utama dan tangga bergerak di sekitar Masjidilharam bagi kegunaan para jemaah.

    Terdapat kira-kira 210 pintu dan 28 tangga bergerak di Masjidilharam, selain sebanyak 38 pintu masuk untuk golongan yang memerlukan dan tujuh lagi bagi golongan wanita.

    Kawasan suci itu juga dilengkapi dengan tujuh jambatan yang dihubungkan dengan laluan khas bagi membawa jenazah untuk disembahyangkan dalam Masjidilharam sebelum dikebumikan.

    Masjidilharam juga mempunyai 660 stesen air zamzam dan 25,000 bekas untuk mengisi air tersebut.

    Sementara itu, Mahkamah Ti­nggi Arab Saudi mengarahkan ta­rikh untuk menyaksikan anak bulan Ramadan pada petang esok, bersamaan dengan 15 Mei.

    Arahan mahkamah itu juga menyebut mana-mana pihak yang dapat melihat anak bulan sama ada menerusi mata kasar mahupun menggunakan teropong perlu melaporkan perkara berkenaan kepada mahkamah berhampiran dan mendaftarkan testimoninya kepada pihak berkuasa.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Mekah Siap Sedia Umrah Ramadan "