• Medan Selera Makanan Laut Sesuai Dibangunkan Di Pasir Panjang

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 8 May 2018
    A- A+

    KUCHING: Medan selera yang menyediakan makanan laut amat sesuai untuk dibangunkan di Kampung Pasir Panjang kerana lokasinya yang dikelilingi keindahan alam semulajadi.

    Bagaimanapun Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, perbincangan terperinci perlu dijalankan terlebih dahulu termasuk membuat pelan induk untuk menentukan lokasi, rekaan dan peruntukan.

    Malah menurutnya, pembinaan medan selera tersebut juga perlu mengambil kira kesesuaiannya dengan pembangunan sekarang dan masa depan di kampung tersebut.

    "Kampung ini amat sesuai untuk pembinaan medan selera yang menyediakan makanan laut," katanya ketika berucap merasmikan Rumah JKKK Pasir Panjang di sini, hari ini.

    Rumah JKKK Pasir Panjang dibina menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

    Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, medan selera tersebut juga akan meningkatkan lagi sektor pelancongan di Kampung Pasir Panjang.

    Selain itu menurutnya, kepimpinan Kampung Pasir Panjang juga perlu merangka strategi untuk memperkasa industri inap desa bagi membolehkan pengunjung mempunyai lokasi menginap.

    "Secara tidak langsung, dengan bilangan inap desa mencukupi, kampung ini sudah pasti akan menjadi destinasi pelancongan baharu di Sarawak," ujarnya.

    Malah katanya, kepimpinan kampung juga perlu merangka strategi agar produk yang dihasilkan penduduk tempatan dapat dipasarkan secara online.-Sarawakiana
  • No Comment to " Medan Selera Makanan Laut Sesuai Dibangunkan Di Pasir Panjang "