• Majlis Perunding Pertanian Negara Ditubuh

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 23 May 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA – Majlis Perunding Pertanian Negara akan ditubuhkan bagi menjana idea ke arah memperkasa dan meningkatkan produktiviti industri asas tani seiring keperluan semasa, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

    Beliau berkata, majlis itu akan dipengerusikan oleh seorang tokoh ternama sektor pertanian selain akan turut melibatkan beberapa nama besar lain yang berupaya memberi nilai tambah.

    “Selain meningkatkan produktiviti asas tani, majlis ini juga berperanan menjana cadangan ke arah menambah baik fungsi dan perkhidmatan kementerian secara keseluruhan, ” katanya kepada pemberita selepas memasuki pejabat bagi memulakan tugas rasmi sebagai menteri di sini hari ini.

    Beliau berkata penubuhan majlis itu disasarkan selesai dalam tempoh sebulan, dengan kertas cadangan mengenai penubuhannya akan dikemukakan ke Kabinet minggu depan.

    Dalam pada itu, Salahuddin mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Ismail Bakar menyediakan laporan lengkap berhubung projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) untuk penilaian semula dari aspek kejayaan dalam meningkatkan pengeluaran daging lembu negara.

    “Projek ini baik dari segi matlamat tetapi ada kelemahan yang perlu dilihat semula dari segi dasar dan pelaksanaan dan jika perlu akan dibawa kepada perhatian Perdana Menteri bagi diberi nafas baharu,” katanya.

    Berkenaan pelantikan pengerusi agensi di bawah kementerian yang kebiasaanya terdiri daripada ‘orang politik’, Salahuddin berkata beliau lebih menekankan pemilihan daripada kalangan tokoh profesional dalam bidang pertanian.

    Katanya ia selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk memastikan setiap agensi kerajaan bebas daripada pengaruh politik terutama dalam lantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Majlis Perunding Pertanian Negara Ditubuh "