• Madu Kelulut Kampung Salak Bakal Tembusi Pasaran Dunia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 8 May 2018
    A- A+


    KUCHING: Pengusaha madu kelulut di Kampung Salak kini boleh memasarkan produk mereka ke pasaran luar selepas terbinanya menara telekomunikasi yang dibangunkan SACOFA Sdn Bhd.

    Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pasaran untuk madu kelulut terbuka luas dan sekarang penduduk sendiri yang perlu mengubah konsep pemasaran.

    Malah menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperkenalkan dasar ekonomi digital sejak memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

    "Kini bukan sahaja pasaran tempatan, kita boleh pasarkan produk ke Amerika Syarikat juga," katanya pada Majlis Pelancaran Program Komuniti Outreach SACOFA4U dan Kampung Angkat di Kampung Salak, hari ini.

    Menurutnya, Kampung Salak yang kaya dengan produk alam semulajadi juga mempunyai potensi besar dalam industri eko pelancongan.

    "Penduduk mungkin boleh mengusahakan pelayaran laut untuk menyaksikan ikan lumba-lumba atau buaya selain keindahan khazanah alam semulajadi," ujarnya.

    Sementara itu, Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan kemudahan telekomunikasi yang tersedia, penduduk Kampung Salak perlu merebut peluang terutama dalam aspek memasarkan produk.

    "Kemudahan sudah tersedia dan penduduk perlu merebut peluang terutama dalam memasarkan produk mereka," ujarnya.

    Kampung Salak menjadi destinasi ke-10 dipilih dibawah program SACOFA4U dalam usaha merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.-Sarawakiana
  • No Comment to " Madu Kelulut Kampung Salak Bakal Tembusi Pasaran Dunia "