• Lelaki Terpaksa Hidup Tanpa Wajah

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 3 May 2018
    A- A+

    TEXAS – AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki terpaksa menerima hakikat bahawa harus meneruskan hidup tanpa wajah selama tiga tahun.

    Kehidupan Dallas Wiens, 23, berasal dari Fort Worth, Texas mendapat liputan meluas media di Amerika Syarikat selepas dia terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi pada 2008.

    Ketika kejadian dia sedang mengecat bangunan sebuah gereja dan insiden itu menyebabkan keseluruhan wajahnya melecur.

    Sejurus kejadian itu, dia dikejarkan ke Parkland Memorial Hospital dan doktor mengambil masa 38 jam untuk menyelamatkan nyawanya sebelum melakukan pembedahan transplan wajah pada 2011.

    Prosedur itu mengambil masa 15 jam dan dikendalikan oleh 30 pakar perubatan, sekali gus menjadi transplan wajah pertama yang pernah dilakukan di Amerika Syarikat.

    “Ketika tidak berwajah, isteri saya minta cerai dan hanya anak saya menjadi penguat semangat untuk teruskan hidup.

    “Saya tidak menyesali apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai takdir malah kejadian itu banyak mengubah kehidupan saya, di mana hubungan antara saya dan anak yang selama ini renggang kini bertaut kembali,” katanya.

    Kehidupan Wiens kini berubah serta-merta apabila dia juga dilaporkan menemui cinta baharu dan berkahwin dengan Jamie Nash.

    Menariknya, Nash juga merupakan seorang mangsa kebakaran setelah terlibat dalam kemalangan dan mempunyai kecacatan wajah sama sepertinya.

    Kini, Wiens bergerak aktif di Amerika Syarikat sebagai pakar motivasi di beberapa pertubuhan bukan kerajaan. – nydailynews

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Terpaksa Hidup Tanpa Wajah "