• Laporan media barat berasaskan pembohongan pembangkang

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 7 May 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Laporan media barat tentang politik Malaysia sering menampakkan kejahilan mengenai fakta dan penuh dengan pembohongan dari pembangkang, kata Sholto Byrnes, felo kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

    Brynes, yang juga seorang pengulas dan penganalisis dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan di England, berkata mungkin terdapat beberapa wakil media asing yang membuat liputan mengenai negara seperti Malaysia, yang benar-benar tahu banyak mengenai Malaysia.

    Beliau berkata banyak pencapaian penting di capai di bawah kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi tidak dilaporkan atau diketepikan oleh media antarabangsa kerana mewarisi elemen berat sebelah terhadap Barisan Nasional (BN).

    "Justeru, paradigma telah dicorakkan di Malaysia pada 1998 dan 2000 (berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kabinet). Media barat kemudian menolak pendekatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    "Saya fikir pada tahun-tahun sejak itu, di sini bermulanya sikap media barat terhadap Malaysia. Ia bukan padang yang sama rata," kata beliau dalam temubual dengan NSTP mengenai pandangannya berhubung pendekatan media asing mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Temubual itu disiarkan dalam NSTP hari ini.

    Ketika ditanya mengenai kredibiliti laporan mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Byrnes berkata adalah hipokrit bagi negara lain untuk mengkritik pemberian BR1M terutama negara-negara Eropah kerana manfaat seperti itu seperti manfaat pekerjaan dan perumahan juga diberi kepada rakyat di negara-negara tersebut.

    Beliau percaya bahawa orang yang memandang remeh dan menyifatkan BR1M sebagai rasuah adalah salah sama sekali kerana ada golongan yang mungkin kurang bernasib baik atau kehilangan pekerjaan yang memerlukan bantuan dan adalah menjadi tanggungjawab negara untuk membantu mereka.

    "Mereka (media asing) memikiran apa sahaja cara untuk memburukkan kerajaan. Dan apabila bercakap tentang liputan pilihan raya, contohnya, mereka akan melakukannya dari perspektif yang menyatakan 'kami tidak fikir ia adil'," kata beliau.

    Selain itu, Byrnes berkata pembangkang mempunyai kecenderungan untuk mendekati media barat dan kebanyakan pengamal media barat menerima bulat-bulat apa yang dicanang oleh pembangkang tanpa banyak soal.

    Beliau berkata, sebagai contoh Dr Mahathir berkali-kali mengatakan bahawa Malaysia telah menjadi satu daripada negara di dunia yang menghadapi masalah rasuah paling buruk tanpa sebarang bukti atau asas ketika membuat dakwaan itu.

    Beliau berkata media barat tidak memeriksa fakta atau mendapatkan pengesahan sama ada maklumat yang diterima itu benar atau sebaliknya.

    "Saya sendiiri benar-benar mahu melihat bukti dakwaan itu tetapi beliau terus mengatakannya seolah-olah ia benar. Dr Mahathir ditemuramah oleh akhbar The Guardian baru-baru ini. Beliau menyebut perkara yang sama dalam temubual itu tetapi wartawan yang menemuramahnya tidak meminta beliau mengemukakan bukti," katanya.

    Byrnes yang melahirkan kebimbangan mengenai PRU14 kerana terdapat banyak propaganda tertanya-tanya sama ada Mahathir bercakap bohong atau beliau tidak tahu mengenainya.

    "Yang lebih membimbangkan ialah apabila beliau telah dinamakan sebagai calon perdana menteri," kata beliau.

    Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Byrnes berkata sistem percukaian itu diperkenalkan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga minyak dan kebanyakan negara di dunia juga mengamalkan cukai seperti itu.

    Byrnes juga bersetuju bahawa terdapat sedikit penurunan dalam piawaian kewartawanan apabila ia membabitkan liputan antarabangsa. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Laporan media barat berasaskan pembohongan pembangkang "