• Lampu Isyarat Legakan Pengguna Jalan Demak 1

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 7 May 2018
    A- A+

    KUCHING: Ribuan pengguna yang melalui Jalan Demak 1 kini boleh menarik nafas lega selepas lampu isyarat bernilai RM530,000 beroperasi sepenuhnya hari ini.

    Pelbagai aduan diterima sebelum ini terutama melibatkan aliran trafik dan risiko kemalangan di jalan tersebut yang mempunyai empat simpang.

    Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lampu isyarat tersebut memberi makna besar kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut bukan sahaja mengurangkan risiko kemalangan tetapi juga melancarkan aliran trafik.

    "Kenderaan yang melalui jalan ini terlalu banyak melebihi 2,000 buah pada satu-satu masa.

    "Ia secara tidak langsung berisiko untuk kenderaan yang keluar dan masuk persimpangan," katanya selepas merasmikan Lampu Isyarat Jalan Demak 1 di sini, hari ini.

    Menurutnya, pembinaan lampu isyarat tersebut menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2017 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

    "Kalau tunggu pihak berkuasa tempatan (PBT) peruntukan mungkin terbatas dan pembinaannya (lampu isyarat) akan memakan masa lebih lama," ujarnya.

    Projek tersebut meningkatkan keselamatan di kalangan pengguna jalan raya dan berdasarkan kajian trafik yang dibuat, persimpangan jalan tersebut memerlukan lampu isyarat dan sedikit pelebaran jalan bagi mengurangkan risiko kemalangan.-Sarawakiana





  • No Comment to " Lampu Isyarat Legakan Pengguna Jalan Demak 1 "