• Lagi ibu pejabat polis Indonesia diserang

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 16 May 2018
    A- A+

    JAKARTA 16 Mei - Empat lelaki menaiki sebuah kenderaan bertindak menyerang ibu pejabat polis Pekanbaru, Riau, dipercayai berkaitan dengan siri serangan pengganas sejak Ahad lepas.

    Dalam kejadian 9 pagi tadi waktu tempatan, keempat-empat suspek mati ditembak oleh polis manakala seorang anggota polis maut dan dua wartawan cedera akibat dilanggar kenderaan suspek.

    Menurut jurucakap polis Riau, Sunarto, suspek berkenaan yang menaiki kenderaan Toyota Avanza bertindak melanggar pintu pagar ibu pejabat polis Pekanbaru menyebabkan seorang anggota polis terbunuh.

    Polis kemudiannya menembak mati keempat-empat suspek terbabit.

    Media Indonesia melaporkan dua wartawan iaitu daripada MNC TV dan TVONE yang berada di pintu masuk bagi membuat liputan sidang akhbar di ibu pejabat polis itu berkenaan satu kes dadah pula cedera akibat dilanggar dan mereka kini dirawat di Rumah Sakit Bhayangkara.

    Pada 13 Mei lepas, sepasang suami isteri dan empat anak mereka terbabit dalam serangan di tiga buah gereja di Surabaya dengan meletupkan diri mereka.

    Pada 14 Mei pula ibu pejabat polis Surabaya diserang pengebom bunuh diri.

    Dalam kejadian 13 dan 14 Mei itu, 25 orang dilaporkan terbunuh termasuk pengebom bunuh diri, anggota polis dan orang awam manakala 51 dilaporkan cedera.

    Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia agar lebih berhati-hati dan tidak berkunjung ke tempat-tempat yang berisiko tinggi berlakunya serangan pengganas. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lagi ibu pejabat polis Indonesia diserang "