• Kesalahan Menularkan Gambar/Foto Dokumen Pilihan Raya Umum (Pru) Ke-14

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 4 May 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan semua pengundi khususnya pengundi pos supaya tidak tidak merakam mana-mana dokumen seperti kertas undi, borang atau sampul-sampul berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menularkannya melalui media sosial atau medium lain.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, larangan itu bertujuan memastikan ketelusan undi adalah rahsia dan tetap terpelihara dalam PRU-14.

    “Larangan ini meliputi semua jenis pengundian termasuk undi pos yang menerima dokumen pilihan raya sebelum pengundian awal atau biasa.

    “Ianya juga bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kepentingan awam sepanjang proses pilihan raya ber-langsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Mohd. Hashim, mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

    Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Individu terbabit juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun daripada sabitan itu dan jika pada tarikh itu dia telah pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd. Hashim mengingatkan semua pengundi agar memastikan kerahsiaan undi mereka kekal terpelihara.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kesalahan Menularkan Gambar/Foto Dokumen Pilihan Raya Umum (Pru) Ke-14 "