• Kempen PRU14 Lancar, Tenang Dan Terkawal

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 2 May 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kini memasuki hari kelima dilaporkan berjalan lancar, aman dan terkawal.

    Penasihat Undang-Undang Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR), Azizan Md Arshad berkata setakat ini SPR tidak menerima sebarang laporan kejadian atau perkara yang serius, mahu pun keadaan huru-hara.

    “Setakat ini semua parti mematuhi syarat dan peraturan kempen yang ditetapkan SPR. Jika senario ini dikekalkan tidak mustahil PRU14 boleh menjadi PRU paling bersih dan aman yang pernah diadakan,” katanya ketika ditemui sebelum menjadi tetamu dalam slot Bernama Today yang disiarkan Bernama News Channel di Wisma Bernama di sini hari ini.

    Tempoh berkempen bagi PRU14 bermula selepas proses penamaan calon pada 28 April sehinggalah 11.59 malam 8 Mei depan. Pengundian ditetapkan pada 9 Mei, manakala pengundian awal pada 5 Mei.

    Mengenai laporan berhubung gambar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, diturunkan di lokasi tertentu, Azizan berkata hanya gambar presiden, timbalan presiden, menteri besar, ketua menteri, calon dan ketua perhubungan negeri atau yang setaraf dengannya yang dibenarkan menjadi bahan kempen.

    Katanya, kempen PRU14 dipantau oleh Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya di setiap bahagian yang dianggotai wakil-wakil parti yang bertanding, pihak Polis Diraja Malaysia dan pihak yang dilantik oleh SPR.

    “Apabila sebarang aduan diterima SPR, pasukan berkenaan akan mengadakan perbincangan dan rundingan bagi mencari langkah yang terbaik sebagai penyelesaian sebelum disampaikan kepada pihak yang sewajarnya. Biasanya bahan kempen yang tidak dibenarkan akan diturunkan oleh parti itu sendiri setelah diberitahu (mengenai pelanggaran peraturan yang dilakukan),” katanya lagi.

    Ditanya mengenai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S Streram yang tidak membawa pas SPR dan tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon sekali gus menjadikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding pada proses penamaan calon, Azizan meminta semua pihak menunggu sehingga siasatan polis selesai.

    “Apabila SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya, SPR telah menurunkan kuasa kepada pegawai tersebut. Pegawai Pengurus mempunyai kuasanya sendiri (dalam sesebuah kawasan pilihan raya) dan boleh membuat sebarang keputusan. SPR tidak campur tangan keputusan yang dibuat oleh pegawai pengurus itu,” kata beliau.

    Mengenai petisyen yang difailkan Naib Presiden PKR, Tian Chua bagi mencabar keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Batu yang menolak permohonannya untuk menjadi calon PRU14, Azizan berkata kes berkenaan akan disebut di mahkamah di sini, esok.

    Pada proses penamaan calon Sabtu lepas, Tian Chua gagal menjadi calon PKR bagi kerusi Parlimen P115 Batu untuk mempertahankan kerusi itu apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana didenda RM2,000 atas kesalahan menghina polis. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kempen PRU14 Lancar, Tenang Dan Terkawal "