• Jangan sampai kes dihakimi media

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 23 May 2018
    A- A+
    Pihak penguatkuasa undang-undang diingatkan supaya tidak mendedahkan sesuatu kes yang sedang disiasat hingga menjadi penghakiman oleh media massa.

    Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pendedahan terbuka kepada media ada yang memberi manfaat tetapi ia juga mungkin bercanggah dengan undang-undang seperti Akta Keterangan 1950 dan Kanun Prosedur Jenayah.

    Katanya, media mempunyai sekatan tertentu dalam melaporkan sesuatu pendedahan kerana ia boleh mendorong prejudis kepada kes yang sedang disiasat.

    “Kita tidak mahu belum lagi ke mahkamah kes itu telah diadili oleh media sedemikian rupa hingga kita tidak dapat menentukan mana yang benar dan mana yang tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan kesyukuran di Masjid Bunga Tanjung dekat Kuala Klawang di sini malam ini.

    Beliau diminta mengulas pendedahan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull mengenai pengalamannya sepanjang mengetuai siasatan skandal SRC International Sdn. Bhd. dalam satu sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

    Rais berkata, usaha melakukan siasatan secara berhemah adalah sesuatu yang sukar kerana pelbagai cabaran dan halangan yang dihadapi oleh pasukan penyiasat.

    “Kalau di negara maju, peguam negara atau pendakwa raya serta polis akan mengemukakan hanya sedikit bukti kepada media dan tidak boleh didedahkan kesemuanya.

    “Ini amalan yang sangat baik bagi kita untuk menghadapi kes seperti yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya.

    Beliau berkata, sekiranya terdapat bukti, orang yang berkenaan perlu didakwa di mahkamah dan tidak sesekali diwujudkan gambaran sensasi kepada masyarakat. - UTUSAN ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Jangan sampai kes dihakimi media "