• Indonesia Kembali Berdarah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 14 May 2018
    A- A+

    SURABAYA - Beberapa pengebom bunuh diri membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan puluhan yang lain dalam serangan ke atas tiga buah gereja berasingan di bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya semasa upacara keagamaan pagi semalam.

    Polis berkata, sekurang-kurangnya lima pengebom bunuh diri terlibat, termasuk seorang yang menaiki motosikal dan seorang wanita bersama dua kanak-kanak, demikian menurut agensi berita Associated Press.

    “Empat orang maut dalam serangan pertama di Gereja Roman Katholik Santa Maria,” jurucakap polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera memberitahu pemberita.

    Menurutnya, seramai 41 orang cedera di lokasi itu termasuk dua anggota polis, manakala seorang atau lebih pengebom terbunuh.

    Beliau menambah, dua minit kemudian, letupan kedua berlaku di Gereja Kristian Diponegoro, manakala letupan ketiga menggegarkan Gereja Pantekosta.

    Angka korban rasmi itu meningkat berbanding dua kematian awal dan dipercayai termasuk mangsa yang meninggal dunia di hospital akibat kecederaan.

    Gelombang serangan itu berlaku sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan). Menurut polis, keganasan tersebut kelihatan seperti serangan terancang dan dipercayai turut melibatkan bom kenderaan.

    Rakaman stesen-stesen te­levisyen utama memaparkan seorang penunggang motosikal memasuki perkarangan sebuah gereja sebelum sebutir bom di­letupkan.

    Imej lain menunjukkan sebuah kenderaan marak dijilat api di satu lagi lokasi serangan.

    Pakar-pakar bom polis dipanggil untuk mematikan bahan letupan aktif di Gereja Pantekosta, manakala seorang wartawan agensi berita AFP di lokasi kejadian mendengar bunyi dua letupan kuat.

    Di Gereja Santa Maria, rakaman televisyen menunjukkan mayat seorang mangsa terbaring di luar pagar gereja ketika skuad pemusnah bom Indonesia memeriksa lokasi serangan.

    Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya seorang penyerang itu terbunuh apabila mereka meletupkan bom di Gereja Santa Maria.

    “Saya ketakutan, ramai orang menjerit,” kata seorang saksi berumur 23 tahun, Roman kepada agensi berita AFP selepas letupan di Gereja Santa Maria.

    Agensi berita Reuters melaporkan bahawa pengarah komunikasi agensi perisikan Indonesia, Wawan Purwanto mengesyaki pengeboman itu dilakukan oleh kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

    Jabatan Senat Amerika Syarikat (AS) melabelkan JAD sebagai kumpulan pengganas pada tahun 2017. Menurut AS, kumpulan militan itu berikrar taat setia kepada ketua militan Daesh, Abu Bakr Al-Baghdadi.

    Washington menyalahkan JAD berhubung serangan pengebom berani mati dan senjata api di Jakarta pada Januari 2016 yang mengakibatkan empat orang maut dan 25 cedera.

    Serangan terbaharu itu berlaku beberapa hari selepas lima anggota polis Indonesia dan seorang banduan terbunuh dalam pertempuran yang menyaksikan sekumpulan banduan militan menjadikan seorang pengawal penjara sebagai tebusan di sebuah pusat tahanan kawalan ketat di pinggir Jakarta.

    Dalam perkembangan terbaharu semalam, enam sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan tersebut, kata Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian.

    Keluarga berkenaan yang terdiri daripada bapa, ibu, dua anak perempuan berumur 9 dan 12 tahun serta dua anak lelaki berusia 16 dan 18 tahun, mempunyai hubungan dengan JAD yang menyokong Daesh.

    Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu, kata jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia.

    Indonesia mempunyai kira-kira 260 juta populasi termasuk sebilangan besar penduduk minoriti beragama Kristian, Hindu dan Buddha. – AFP/AP/Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Indonesia Kembali Berdarah "