• India perlu contohi China bersihkan udara

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 2 May 2018
    A- A+

    India perlu mencontohi China dengan membersihkan udara di bandar-bandar negara itu yang sudah diiktiraf sebagai antara paling tercemar di dunia.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pangkalan data lebih daripada 4,300 bandar milik pertubuhan itu menunjukkan bahawa beberapa bandar di India seperti New Delhi, Varanasi dan Patna adalah antara yang paling tercemar, berdasarkan jumlah partikel di bawah 2.5 mikrogram dalam setiap meter padu udara.

    Beberapa bandar di China seperti Xingtai dan Shijiazhuang serta Jubail di Arab Saudi turut mencatatkan kadar pencemaran yang tinggi tetapi data untuk kesemua kawasan itu sudah berusia antara 4 hingga 5 tahun.

    Ketua Kesihatan Awam WHO, Maria Neira berkata, China telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan dan ia seharusnya menjadi contoh kepada India.

    “Kerajaan China telah mengambil langkah besar dalam memerangi pencemaran udara. Salah satu faktor ialah penekanan kepada aspek kesihatan dan rakyat negara itu menghirup udara yang kandungan pencemarannya tidak boleh diterima.

    “Kami akan berasa amat gembira jika dapat melihat perubahan sama berlaku di India iaitu antara negara yang menjadi perhatian WHO ketika ini. Walaupun terdapat beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan pada kadar segera, tahap pencemaran masih tinggi dan kami mahu melihat keputusan serta kepimpinan yang sama,” katanya.

    Menurut WHO, sembilan daripada 10 orang penduduk bumi menghirup udara yang sudah tercemar dan ia meragut nyawa 7 juta penduduk setiap tahun, sebilangan besar berada di negara miskin di Asia dan Afrika.

    Suku daripada jumlah kematian itu diakibatkan oleh penyakit jantung, angin ahmar dan kanser paru-paru yang disumbangkan oleh pencemaran udara. – Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " India perlu contohi China bersihkan udara "