• HSR, MRT3 Mungkin Ditangguh

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 21 May 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) dan projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) Lembah Klang berkemungkinan besar ditangguhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang kini mengkaji semula projek-projek mega dalam sektor pembinaan.

    Menurut laporan The Star semalam, sumber industri berkata, ini kerana berbanding dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT1, MRT2 serta projek Lebuh Raya Pan Borneo, ke­dua-dua projek berkenaan belum lagi dimulakan.

    “Ini bermakna tidak ada sebarang pembiayaan telah dikeluarkan bagi kedua-dua projek HSR dan MRT3 dan ini menjadikannya lebih mudah untuk ditangguhkan,” katanya.

    Jumlah keseluruhan kedua-dua projek berkenaan adalah sebanyak RM105 bilion dengan HSR KL-Singapura dianggarkan bernilai RM60 bilion manakala MRT3 sebanyak RM45 bilion.

    “Daripada projek-projek yang sedang berjalan, ECRL adalah kerja infrastruktur kedua terbesar yang pernah dilakukan kerajaan sebelumnya selepas MRT1 dan MRT2 dengan nilai gabungan berjumlah RM70 bili­on, manakala projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM32 bilion.

    “Projek-projek ini adalah sebahagian dari perbelanjaan tersembunyi kerajaan atau apa yang kita sebut dalam istilah kewangan sebagai ‘item luar kunci kira-kira’,” katanya.

    Bagaimanapun kerajaan ba­haru mengatakan bahawa projek Lebuh Raya Pan Borneo akan tetap disiapkan dan merupakan antara projek yang diberi ke­utamaan.

    HSR merupakan projek kereta api berkelajuan tinggi sejauh 350 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dan dijangka beroperasi pada 2026.

    Pada 5 April lalu, MyHSR Corp. Sdn. Bhd. mengumumkan Konsortium Malaysian Resour­ces Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MRCB-Gamuda) dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd.- TH Properties Sdn. Bhd. (YTL-THP) memperoleh tender sebagai Rakan Kongsi Penyam­paian Projek (PDP) bagi kerja-kerja awam untuk projek tersebut dengan nilai kontrak dianggarkan berjumlah antara RM30 bilion hingga RM40 bilion.

    Walau bagaimanapun, sumber industri mengatakan bahawa kerja-kerja HSR masih dalam fasa awal reka bentuk dan pengambilan tanah, dan mungkin tidak banyak kesan sekiranya tertangguh.

    “Kita sudah memiliki rel KTM sedia ada yang boleh ditingkatkan. Apa yang boleh terjadi ialah kerja awal yang telah dilakukan boleh diberikan pampasan,” kataya.

    Sementara itu projek MRT3 yang merupakan adalah laluan kereta api bandar sejauh 40 kilometer telah diluluskan di bawah kerajaan terdahulu, namun ia kontrak bagi kerja-kerja pembinaan belum diberikan secara rasmi.

    Sesetengah penganalisis industri berpendapat bahawa projek MRT3 mungkin akan dilaksanakan pada smasa akan datang, memandangkan ia menggabungkan semua rangkai­an pengangkutan rel sedia di bandar.

    “Tetapi ia mungkin dilaksanakan melalui proses tender terbuka yang baharu. Dan jangan terkejut jika kosnya turun, kerana ia boleh dibina pada tahap 30 peratus lebih rendah,” kata seorang perunding kereta api.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " HSR, MRT3 Mungkin Ditangguh "