• Hanya Parti Komponen BN Tempatan Mampu Tuntut Balik Hak Sarawak

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 4 May 2018
    A- A+



    KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan hanya parti komponen BN di negeri ini sahaja yang mampu menuntut kembali hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Beliau berkata, sokongan padu perlu diberikan kepada parti tempatan di Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

    Menurutnya, parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak mempunya kemampuan dalam menuntut hak Sarawak.

    "Parti ini (komponen BN Sarawak) sahaja dapat menuntut hak Sarawak bersama Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    "Kita mesti beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua parti komponen BN di Sarawak," katanya ketika berucap semasa Program Santai Bersama Penduduk Kampung Tabuan Dani di sini, hari ini.

    Beliau turut menasihati pengundi terutama di Parlimen Santubong supaya lebih berhati-hati dengan janji 'bulan dan bintang' pembangkang.

    "Bukan baru sekarang mereka menjanjikan bulan dan bintang, cerita sama dimainkan lagi sekarang.

    "Pengundi Santubong tiada pilihan lain melain memberi sokongan padu kepada BN dan turun beramai-ramai pada 9 Mei bagi memastikan kemenangan dengan majoriti besar dapat dilakar," ujarnya.

    Menurutnya lagi, pengundi juga tidak seharusnya bersikap sambil lewa atau merasa selesa kerana kemenangan besar penting bagi mempercepatkan proses pembangunan.

    Mengulas mengenai pembangunan di Kampung Tabuan Dani, Wan Junaidi berkata, pembinaan dewan di kampung tersebut dapat dibina sekiranya tapak tanah sudah dikenalpasti.

    Bagi pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Tabuan Dani dan Kampung Tabuan Haji Drahman pula katanya, persetujuan antara penduduk kedua-dua perlu dimeterai agar pembinaannya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

    Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni.-Sarawakiana
  • No Comment to " Hanya Parti Komponen BN Tempatan Mampu Tuntut Balik Hak Sarawak "