• Guna 2, 000 Telur Sehari Siapkan Kuih Tahi Itik

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 23 May 2018
    A- A+

    KOTA BHARU: Sebanyak 2,000 telur digunakan setiap hari untuk menghasilkan 'tahi itik' yang menjadi antara kuih tradisional pilihan ramai sebagai juadah berbuka puasa.

    Tahi itik mungkin agak pelik pada namanya, namun ia adalah kuih warisan Kelantan yang sangat disukai kerana rasa dan teksturnya yang lembut dan sedap.

    Pengusahanya, Mohamad Omar, 69, yang lebih 10 tahun berkecimpung dalam pembuatan kuih berkenaan berkata, bahan asas untuk membuat kuih itu hanyalah menggunakan telur putih, tepung, minyak dan gula.

    Katanya, cara memproses kuih itu tidaklah begitu rumit, tetapi perlu sentiasa dikacau setiap masa selama sejam selain memerlukan sukatan bahan tepat untuk menghasilkan kuih yang sempurna.

    "Saya menjual kuih ini setiap hari dengan dibantu empat daripada tujuh anak yang turut berkecimpung dalam perniagaan kuih termasuk Jala Mas, Buah Tanjung dan Murtabak Raja.

    "Namun, di bulan Ramadan kuih tahi itik mendapat permintaan berlipat kali ganda bukan saja dalam kalangan masyarakat setempat malah dari Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.

    "Sebelum ini kami menggunakan 2,000 telur dalam masa seminggu untuk menghasilkan kuih berkenaan, tetapi permintaan tinggi dalam bulan Ramadan menyebabkan kami perlu menyediakan telur dengan jumlah yang sama setiap hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tikat, di sini.

    Mohamad berkata, sepanjang berniaga dia dapat melihat pelbagai reaksi pelanggan apabila mengetahui nama kuih itu,

    "Ada yang terkejut, ada yang teruja. Namun yang pasti ramai yang menyukai rasanya," katanya.

    Katanya, kuih tahi itik dijual pada harga RM1 untuk 100 gram dan biasanya dia dan dua pekerja lain sudah menyediakan kuih yang siap dibungkus dengan harga RM5.

    "Saya hanya menjual kuih ini di rumah yang sentiasa dikunjungi pelanggan dari seluruh Kelantan termasuk Gua Musang, Jeli dan Rantau Panjang.

    "Begitu juga dengan ejen yang datang untuk mengambil bekalan untuk dipasarkan.

    "Kuih itik yang dihasilkan keluarga kami adalah resipi arwah isteri yang mana selain memiliki rasa sedap yang tidak terlalu manis, ia juga mampu tahan sehingga empat bulan jika disimpan di dalam peti ais," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Guna 2, 000 Telur Sehari Siapkan Kuih Tahi Itik "