• Fikir Masak-Masak Sebelum Membuang Undi

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 7 May 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen, Tan Sri Lee Lam Thye percaya majoriti pengundi telah membuat keputusan mengundi calon mana dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

    Beliau bagaimanapun tetap menyeru para pengundi supaya berfikir secara kritikal dan membuat keputusan yang bijak sebelum membuang undi masing-masing lusa.

    “Keputuasan yang dibuat bukan sahaja akan memberi kesan kepada kita untuk tempoh lima tahun akan datang, tetapi juga bakal menentukan nasib negara dan generasi akan datang.

    “Tiada gunanya lagi untuk menangisi nasib selepas keputusan diumumkan seperti yang pernah diungkapkan seorang novelis Amerika Syarikat, Louis Dearborn L’Amour,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Lam Thye menyeru orang ramai mengundi calon yang efektif, ikhlas, jujur, berdedikasi dan komited untuk berkhidmat kepada mereka selepas dipilih sebagai wakil rakyat dalam PRU14.

    Menurut beliau, bagi mengenal pasti perkara itu, pengundi perlu melihat kepada prestasi semua calon termasuk mereka yang mempertahankan kerusi di kawasan masing-masing.

    Kata beliau, seorang wakil rakyat yang dipilih mesti memainkan dua peranan iaitu sebagai seorang penggubal undang-undang serta yang berkhidmat kepada rakyat.

    Katanya, wakil rakyat itu mesti menangani isu-isu negara di Parlimen selain bersedia untuk berkhidmat kepada pengundi mereka.

    “Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti memberikan komitmen kepada kawasan mereka dan sentiasa berada di kawasan apabila diperlukan.

    “Yang paling penting, saya berharap pengundi akan memilih calon yang mempunyai integriti,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Fikir Masak-Masak Sebelum Membuang Undi "