• Dasar Pembangkang Akan Mufliskan Malaysia - Setiausaha Akhbar PM

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 7 May 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Sekiranya pembangkang diberi peluang membentuk kerajaan, perbezeaan ideologi akan memecah-belahkan antara mereka, manakala dasar ekonomi mereka yang tidak bertanggungjawab dan bersifat populis pula akan menjadikan negara ini muflis, kata Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

    "Ia akan menjadi suatu bencana bagi Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, Tengku Sariffuddin berkata beliau percaya rakyat Malaysia cukup bijak dan tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

    Kata Tengku Sariffudin, Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai bukti tentang rekod kejayaannya apabila pendapatan dalam negara kasar Malaysia meningkat lebih 50 peratus, 2.7 juta pekerjaan diwujudkan, kadar pengangguran dan inflasi berada pada tahap rendah, manakala kadar kemiskinan berkurang dengan ketara sejak Najib mengambil alih pentadbiran negara pada 2009.

    Menurut beliau, ekonomi Malaysia berkembang pesat hinggakan Bank Dunia menaikkan anggarannya bagi pertumbuhan negara ini sebanyak tiga kali pada 2017, dengan angka terakhir, 5.9 peratus, yang melangkaui ramalan awal mereka.

    Beliau berkata perdana menteri memperkenalkan langkah yang mempunyai kesan paling meluas sejak Merdeka bagi memperkukuhkan hak kebebasan bersuara dan demokrasi, termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman, yang untuk julung kalinya menjadikan hak untuk mengadakan bantahan secara aman, termaktub dalam undang-undang.

    "Maka, rancangan perdana menteri untuk mewujudkan kesejahteraan ekonomi dan keselamatan bagi Malaysia dan rakyatnya sudah menjadi kenyataan dan beliau mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk membuat penghakiman tentang kerajaan berdasarkan rekod pencapaiannya selama ini," kata beliau.

    Tengku Sariffuddin berkata, berbeza dengan BN, pembangkang tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian dari segi penyampaian perkhidmatan dan kini hanya mempunyai rancangan besar untuk menipu.

    Kempen 'reformasi' mereka diwujudkan bagi menentang calon perdana menteri mereka sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad secara peribadi dan banyak pemimpin mereka telah dihukum penjara oleh beliau, katanya.

    Tengku Sariffuddin berkata hakikatnya ialah DAP mempunyai majoriti besar dari segi kerusi Parlimen yang disandang pembangkang, berbanding hanya satu kerusi oleh parti Dr Mahathir, dan mereka sekali gus menguasai gabungan itu, manakala DAP hanya memperalatkan bekas pemimpin berusia lebih 90 tahun itu untuk menyembunyikan tujuan mereka memecah-belahkan undi Melayu, katanya.

    "Sekiranya mereka menang, mereka tidak akan sekali-kali membenarkan Mahathir menjadi perdana menteri ... mereka amat mengenali beliau. Dan, setelah pada mulanya berjanji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim selepas enam bulan, Mahathir kemudian berkata ia akan dibuat selepas dua hingga tiga tahun pula," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Dasar Pembangkang Akan Mufliskan Malaysia - Setiausaha Akhbar PM "