• Bermula Inspektor kini Supt dalam PDRM

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 4 May 2018
    A- A+
    Gambar Bernama

    Oleh Nadia Jumri

    IPOH, 4 Mei (Bernama) -- Bermula sebagai seorang Inspektor 30 tahun yang lepas, kini pegawai polis wanita ini berpeluang menjadi Supt (Superintendan) yang memegang jawatan sebagai Pegawai Turus Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    Beliau yang merupakan ibu kepada tiga anak lelaki itu ialah Supt Lai Lee Ching, berusia 53 tahun.

    Dalam usaha untuk memperkasakan polis wanita, Lai juga dilantik sebagai Pegawai Turus Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Perak yang bertujuan untuk memastikan polis wanita dapat terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

    Beliau berkata kekuatan 'tersembunyi' wanita membuktikan golongan itu mampu bersama-sama kaum lelaki untuk memberi perkhidmatan terbaik dalam agensi keselamatan itu.

    "Paling penting, kita sebagai wanita perlu sedar tujuan, inisiatif dan galakan daripada pihak kerajaan untuk membangkitkan kekuatan 'tersembunyi' wanita bagi bergabung tenaga dengan kaum lelaki ke arah keberhasilan yang cemerlang.

    "Ini kerana lelaki dan wanita mempunyai kekuatan unik tersendiri. Hasil penggabungan idea, konsep dan tenaga antara kaum lelaki dan wanita akan membawa impak tinggi yang memberi manfaat maksimum kepada masyarakat," katanya kepada Bernama.

    Lai yang berasal dari Kedah telah berkhidmat sejak 1988 antaranya sebagai pegawai perhubungan awam di Bahagian Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Koporat) di Bukit Aman.

    Katanya, walaupun beliau mempunyai kelulusan dalam bidang setiausaha di Kolej Stamford Kuala Lumpur namun beliau memilih kerjaya polis kerana padanya polis merupakan satu pekerjaan yang murni.

    "Naluri saya untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat merupakan galakan kepada saya untuk menceburi kerjaya sebagai polis. Ia juga dapat meluaskan pengalaman kerja dan berpeluang menerima cabaran yang dapat meningkatkan ketahanan diri," katanya.

    Beliau berkata antara pencapaian yang amat bermakna baginya apabila berjaya mengetengahkan laman sosial Facebook PDRM pada tahun 2010 yang pada ketika itu beliau memegang jawatan Pegawai Perhubungan Awam di Bukit Aman.

    Sementara itu, bagi Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) IPK Perak Supt Wan Nornidawati Wan Abdul Ghani berkata kini banyak peluang telah dibuka kepada wanita untuk bekerja di peringkat atasan di sesebuah jabatan.

    "Kita boleh lihat sekarang banyak wanita telah diiktiraf untuk bekerja di bahagian atasan. Sebagai contoh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, ketua polis daerah kawasan itu adalah wanita," katanya.

    Wan Nornidawati bersama dua rakannya Siti Aisah Sudin dan Noresah Abd Rashid merupakan kumpulan memanah wanita pertama yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA di Singapura pada 1993.

    Beliau bermula sebagai Konstabel di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada tahun 1987 dan pada awalnya penglibatan beliau dalam PDRM adalah lebih kepada mewakili sukan namun beliau meluaskan skop kerjanya dengan mengambil peperiksaan undang-undang dan kemudian dilantik sebagai Inspektor.

    Selepas itu, Wan Nornidawati, 51, merupakan wanita pertama yang dilantik menjadi ketua StaRT di Kelantan pada tahun 2013 dan kini di Perak, beliau juga antara pegawai wanita yang mempunyai lesen memandu kelas B, iaitu menunggang motosikal besar.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bermula Inspektor kini Supt dalam PDRM "