• Berdaya Saing, Produktif & Mesra Jadikan Malaysia Pilihan Pelabur Asing Tanam Modal

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 5 May 2018
    A- A+

    LUNDU: Malaysia muncul sebagai salah satu destinasi pelaburan berdaya saing, produktif dan mesra pelabur mendahului gergasi ekonomi seperti China dan Korea Selatan.

    Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Indeks Daya Saing Global semasa Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia pada kedudukan 23 daripada 137 negara pada tahun lepas.

    Malah menurutnya, di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, Malaysia berada pada kedudukan ketujuh mendahului negara besar lain.

    "Pendekatan diambil Malaysia dalam menarik pelaburan asing menerusi langkah strategik termasuk mempercepat lesen dan permit selain menyediakan insentif membuatkan Malaysia menjadi pilihan pelabur.

    "Kedudukan Malaysia ini bukan sahaja meningkatkan pelaburan asing tetapi menyediakan banyak peluang pekerjaan," katanya.

    Bukan itu sahaja menurutnya, Malaysia juga memiliki pekerja mahir dan profesional yang turut menyumbang kepada kedudukan terbaik negara dalam indeks daya saing global.

    Menurut Wan Junaidi lagi, berada pada kedudukan ke-29 dalam Indeks Kesejahteraan Global turut menyumbang kepada minat pelabur asing menanam modal di Malaysia.

    "Dengan Malaysia berada pada kedudukan terbaik dalam indeks kesejahteraan global, pelabur tidak teragak-agak melabur di negara ini kerana diiktiraf masyarakat antarabangsa.

    "Pelabur asing sudah pasti enggan menanam modal di negara yang bergolak atau selamat.

    "Malaysia sekarang tidak lagi boleh dianggap sebagai negara membangun sebaliknya sebuah negara maju," ujarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Berdaya Saing, Produktif & Mesra Jadikan Malaysia Pilihan Pelabur Asing Tanam Modal "