• Belum Ada Arahan Siasat Khalid - KPN

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 14 May 2018
    A- A+

    JEMPOL: Polis belum menerima sebarang arahan untuk menyiasat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata setakat ini pihaknya juga tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung sebarang isu membabitkan Khalid.

    "Setakat ini, polis tiada perkara hendak disiasat tetapi jika ada asas atau laporan daripada pihak tertentu, kita akan jalankan siasatan jika perlu," katanya.

    Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

    Turut berkenan hadir, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin.

    Turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun.

    Semalam media melaporkan, Khalid berkata beliau sedia disiasat mengenai apa saja masalah berhubung isu yang timbul sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Ia berikutan nama beliau dan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali disenaraikan sebagai antara individu yang disiasat kerajaan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Mengenai dakwaan polis menyerbu pangsapuri mewah di ibu negara dipercayai milik ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu, Mohamad Fuzi berkata, ia hanya pemantauan keselamatan.

    Katanya, pemantauan dibuat kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    "Kita buat pemantauan dan pada masa sama pastikan keadaan keselamatan di kediaman itu," katanya.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Belum Ada Arahan Siasat Khalid - KPN "