• Anak Rusa Kepala Dua Unik, Istimewa

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 15 May 2018
    A- A+


    MINNESOTA: Pene­muan anak rusa berkepala dua yang cukup sifat tetapi mati semasa dilahirkan di sebuah hutan di sini dua tahun lalu adalah yang pertama pernah direkodkan.

    Kajian kes tersebut yang baru-baru ini disiarkan oleh jurnal sains American Midland Naturalist turut dialu-alukan oleh para penyelidik yang menyifatkannya sebagai kes penanda aras melibatkan kecacatan hidupan liar.

    Pengurus hidupan liar Jabatan Sumber Asli Minnesota yang juga salah seorang penyelidik, Lou Cornicelli berkata, kejadian itu tidak pernah ditemukan sebelum ini.

    “Terdapat beberapa kes yang dilaporkan tentang janin mamalia berkepala dua tetapi dilahirkan tidak cukup bulan menjadikan kes kali ini agak unik dan istimewa,” katanya yang dilaporkan Fox News dan dipetik oleh portal Daily News.

    Sebelum ini terdapat dua kes anak rusa ekor putih berkepala dua yang dilaporkan tetapi ke­dua-duanya mati dalam kandu­ngan.

    Kes terbaharu itu ditemukan oleh seorang pencari cendawan kira-kira 1.6 kilometer dari Sungai Mississippi di Freeburg, di sini pada Mei 2016.

    Lelaki terbabit segera memaklumkan kejadian itu pada jabatan berke­naan dan anak rusa tersebut telah dibekukan melalui pelaksa­naan nekropsi.

    Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Pengimbasan To­mografi Berkompu­ter (CT Scan) telah dijalankan dan mendapati anak rusa itu mempunyai dua kepala hingga tengkuk berasingan yang bercantum pada bahagian tulang belakang.

    Penyelidik di Universiti Georgia, Gino D’Angelo berkata, ke­dua-duanya berkongsi hati dan saluran pencernaan selain mempunyai limpa tambahan.

    Haiwan itu diletakkan di atas batu yang dihiasi tumbuhan hijau akan dipindahkan ke ibu pejabat jabatan berkenaan di St. Paul dan dipamerkan kepada orang ramai.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Rusa Kepala Dua Unik, Istimewa "