• Anak Babi 'Bersiar-Siar' Terperangkap

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 7 May 2018
    A- A+

    “Saya ingatkan anak anjing, rupanya anak babi yang terperangkap dalam perangkap anjing yang diletakkan di kawasan rumah itu," kata Fatimah Abdullah, 68, dari Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu, ketika ditemui NSTP, semalam.

    Fatimah berkata, perkara terbabit tidak pelik kerana kawasan itu memang banyak anjing liar dan babi, namun, dia terkejut kerana enam ekor anak babi memasuki perangkap itu sekaligus.

    "Saya dah lama tidak menanam pokok di kawasan rumah kerana bimbang disondol babi.

    "Cuma saya terkejut kerana enam ekor anak babi sekaligus terperangkap dalam satu sangkar," katanya.

    Fatimah berkata, perangkap anjing itu diletakkan di kawasan rumah berikutan terlalu banyak anjing liar yang berkeliaran sehingga mengancam arnab dan ayam ternakannya.

    "Lebih lima ekor ayam dan enam arnab yang diternak mati dimakan haiwan liar itu sejak Januari lalu seterusnya mendorong saya menghubungi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menangani masalah itu.

    "Sejak perangkap itu diletakkan di kawasan rumah, dua ekor anjing liar berjaya diperangkap, namun masalah itu tidak selesai kerana lebih enam anjing liar yang pernah dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan.

    "Sehubungan itu, perangkap itu terus diletakkan di kawasan berkenaan dengan harapan baki anjing liar yang masih berkeliaran memasuki perangkap,” katanya.

    Menurutnya, berikutan terlalu banyak anjing liar dan babi berkeliaran di kawasan rumah, dia dan suaminya, Omar Hassan, 74, sentiasa berjaga-jaga setiap kali keluar rumah kerana bimbang diserang haiwan liar itu.

    "Sehingga kini kami hanya pernah terserempak dengan anjing dan babi, namun haiwan itu tidak mengancam kami, cuma kami bimbang jumlah babi dan anjing semakin bertambah sekiranya tiada langkah untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Anak Babi 'Bersiar-Siar' Terperangkap "