• Akta Antiberita Tidak Benar Akan Dimansuhkan - Gobind

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 22 May 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Akta Antiberita Tidak Benar yang diwartakan secara rasmi pada April lepas akan dimansuhkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, hari ini.

    Beliau berkata, cadangan bagi memansuhkan akta tersebut akan dibawa kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar ia dapat dihapuskan secepat mungkin.

    "Saya ada satu senarai yang kami perlu kaji. Saya akan adakan sidang akhbar esok untuk beritahu secara khusus. Kita ada Akta Antiberita Tidak Benar. Sepertimana yang disebut dalam manifesto Pakatan Harapan, kami akan memansuhkannya.

    "Kami akan tetapkan tempoh masa, 100 hari yang pertama kami harus menunaikan tetapi berapa banyak masa yang diperlukan saya akan bincangkan dengan pegawai-pegawai saya esok. Memang saya akan lakukan dan mula bertugas tepat 8.30 pagi esok," katanya, di sini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia bersama 12 Menteri Kabinet yang lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu istiadat di Istana Negara, hari ini.

    Selaku menteri yang baharu di kementerian berkenaan, Gobind, 45, berkata kebebasan media menjadi agenda utamanya dan beliau komited dalam hal itu, yang menjadi antara perkara yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan.

    Namun katanya perkara itu perlu dibuat rujukan berdasarkan undang-undang sedia ada.

    "Kebebasan media adalah keutamaan saya. Media membuat berita dan syarikat penerbitan terikat dengan undang-undang sedia ada jadi kami perlu melihat dari segi itu dan kami harus mencari kaedah yang kita boleh tingkatkan kebebasan akhbar di negara ini. Dan saya komited untuk melakukannya," ujar beliau.

    Selain itu, anggota Parlimen Puchong itu berkata beliau turut akan memberi perhatian serius terhadap keseluruhan aspek laporan berita dan mencari jalan bagaimana sistem televisyen tempatan dapat bersaing dengan saluran media antarabangsa.

    - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Akta Antiberita Tidak Benar Akan Dimansuhkan - Gobind "