• 'Aksi Terakhir' Griezmann

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 14 May 2018
    A- A+

    Trofi utama sulung Antoine Griezmann bersama Atletico Madrid mungkin menjadi yang terakhirnya dijulang bersama kelab itu jika berjaya menewaskan Marseille pada final Liga Europa, awal pagi Khamis ini.

    Spekulasi membabitkan masa depan Griezmann lebih menjadi tumpuan menjelang pertembungan di Lyon, Perancis dengan penyerang itu dijangka menyertai Barcelona pada musim panas ini.

    Segelintir pemain Atletico menyuarakan pandangan mereka ketika ditanya mengenai perkara itu pada “hari bersama media” minggu lalu dan sekalipun pengurus, Diego Simeone menegaskan fokusnya adalah aksi final, sukar untuk mengabaikan ‘bunyi bising’ membabitkan pemain bintang kelab itu.

    Penyerang Barcelona, Luis Suarez menambah kehangatan dengan menyatakan perjanjian membabitkan Griezmann sudah diselesaikan sekali gus mencetus kemarahan ketua pegawai eksekutif Atletico, Miguel Angel Gil Marin.

    “Kami bosan dengan sikap Barcelona,” kata Marin dalam satu kenyataan.

    “Bagaimana presiden, pemain dan lembaga pengarah mereka bercakap mengenai masa depan pemain yang masih memiliki kontrak dan beberapa hari sebelum final peringkat Eropah, ia satu rasa kurang hormat yang amat besar terhadap Atletico.”

    Griezmann jelas tidak mahu dirinya dibeban spekulasi dengan berkata dia mahu ketentuan mengenai masa depannya diselesaikan sebelum Piala Dunia Russia bermula.

    Namun kegusaran itu bertambah apabila Presiden Atletico, Enrique Cerezo tampak sukar untuk mengesahkan status pemain bintangnya itu.

    “Setakat hari ini, Antoine Griezmann masih pemain Atletico Madrid,” katanya ringkas.

    Sepanjang empat tahun di Atletico, Griezmann meraih pelbagai kejayaan selain duka dan pada musim ini, dia sudah menyumbat 30 gol sepanjang 50 penampilan untuk keseluruhan 79 gol dalam 142 aksi di pentas La Liga.

    “Saya fikir Griezmann sudah cukup besar untuk mengetahui apa yang dilakukan,” kata rakan sepasukannya di jentera serangan, Diego Costa.

    “Ketika ini, tumpuannya terarah untuk memenangi gelaran.” - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 'Aksi Terakhir' Griezmann "