• 48 Kes Demam Campak Direkodkan Di Bintulu

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 27 May 2018
    A- A+

    KUCHING - Jabatan Kesihatan Sarawak mengesahkan sebanyak 48 kes positif demam campak dilaporkan di Bintulu sejak 13 April hingga Isnin (21 Mei) lepas.

    Pengarahnya Dr Jamilah Hashim berkata 19 daripadanya adalah kes wabak manakala 29 adalah kes sporadik dan wabak ini melibatkan lapan kawasan yang terdiri daripada taman perumahan, penempatan pekerja kilang papan dan tadika.

    "Daripada 48 kes yang dikesan di Bintulu, 20 kes (41.67%) adalah dalam kalangan kanak-kanak bawah tujuh tahun. Sejumlah 43 kes (89.58%) tidak menerima vaksin measles (campak), 12 kes (27.9%) belum layak kerana berumur kurang dari enam bulan, enam kes (13.9%) tidak pernah terima vaksin dan 25 kes (58.1%) tidak diketahui status imunisasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata hingga kini, seramai 22,414 individu telah diperiksa dan 675 daripadanya telah diberi suntikan vaksin di kawasan wabak di samping sebuah tadika telah diarahkan tutup seminggu hingga Isnin (21 Mei).

    "Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan wabak demam campak di kawasan yang telah dikenal pasti.

    "Ia amat penting dilaksanakan bagi membendung penularan wabak dan komplikasi akibat daripada demam campak terutamanya dalam kalangan bayi, pesakit yang mempunyai kurang daya tahan melawan penyakit dan warga emas. Aktiviti ini akan diteruskan sehinggalah wabak diisytiharkan tamat," katanya.

    Dr Jamilah turut menasihati mana-mana individu yang mengalami gejala demam campak seperti demam, ruam, batuk, selesema atau mata merah berair (konjuntivitis) untuk segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

    "Pengesanan dan rawatan awal dapat membendung penularan demam campak dalam kalangan masyarakat dan mencegah komplikasi yang lebih teruk," katanya. - BERNAMA
  • No Comment to " 48 Kes Demam Campak Direkodkan Di Bintulu "