• 2 Lemas Jala Tersangkut

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 21 May 2018
    A- A+

    Dua lelaki lemas ketika menjala ikan di lombong dekat Taman La Cottage Putra Perdana, Cyberjaya, 4.30 petang semalam.

    Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan operasi mencari mangsa menemui kedua-dua mayat pada 12.30 tengah malam tadi.

    Ketua Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor, Mohd Nurizawan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.49 petang berhubung kejadian daripada seorang lelaki.

    “Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya bergegas ke lokasi. Tujuh anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut ke lokasi.

    “Operasi mencari mangsa dijalankan sebelum mayat kedua-duanya lelaki berusia 31 dan 40 tahun itu ditemui selepas kira-kira tujuh jam operasi yang turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa ke lombong berkenaan untuk menjala ikan sebelum jala mereka dikatakan tersangkut.

    Menurutnya, seorang daripada mangsa menyelam, namun dipercayai lemas sebelum mangsa kedua terjun untuk menyelamatkan rakannya, namun turut lemas.

    “Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut berhubung punca kejadian dan punca kematian.

    “Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Lemas Jala Tersangkut "