• 2 Lelaki, Seorang Wanita Bersama 521 Gram Dadah Ditahan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 3 May 2018
    A- A+

    KUCHING – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bersama 21 peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), Jalan Matang di sini semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata polis menyerbu rumah itu pada kira-kira pukul 3.30 petang berdasarkan maklumat risikan dan menemui dadah berkenaan dalam satu beg plastik hitam di dalam sebuah kereta Toyota Vios.

    “Semua 21 peket plastik lutsinar itu disyaki dadah jenis syabu yang dianggar seberat 521.35 gram, dan turut disita ialah wang tunai RM6,430 serta tiga bentuk cincin yang dianggar bernilai RM5,070. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM145,978,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata saringan ujian air kencing mendapati salah seorang daripada tiga suspek itu positif dadah jenis methamphetamine.

    Menurutnya ketiga-tiga suspek yang berumur antara 16 dan 24 tahun didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mereka ditahan serta disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori. – BERNAMA
  • No Comment to " 2 Lelaki, Seorang Wanita Bersama 521 Gram Dadah Ditahan "