• Wanita 100 tahun bangga undi BN sejak PRU pertama

    Published: Tuesday, 17 April 2018
    A- A+
    MUAR: Bagi seorang warga emas, yang pernah mengundi sejak pilihan raya umum (PRU) yang pertama, mengundi Barisan Nasional (BN) pada setiap pilihan raya satu kemestian.

    Didorong keyakinan hanya BN mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat, Ngadiah Kasiman yang berusia 100 tahun, masih setia dan mahu mengundi BN pada PRU14.

    Wanita yang tinggal di Kampung Sagil Parit 1, sejak lebih 60 tahun lalu, berasal dari Serom 4, Muar sebelum berhijrah ke Sagil setelah berkahwin dengan Sarman Sonokario yang meninggal dunia pada 2006.

    “Selagi saya hidup, saya akan undi ‘dacing’ (BN) jika yang lain saya tidak mahu,” katanya kepada Bernama dalam loghat Jawa yang diterjemahkan anaknya Jaminah Sarman, 57, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sagil Parit 1.

    Lebih menyenangkan hatinya, prinsip Ngadiah dikongsi anak dan menantunya, Ahmad Omar Ithnin, 59, yang turut setia menyumbang undi kemenangan kepada BN kawasan Gambir sejak sekian lama.

    Jaminah berkata sejak layak mengundi pada usia 21 tahun, dia dinasihati ibunya supaya mengundi BN kerana ibu menyatakan BN parti yang membawa pelbagai kemajuan di kawasannya.

    “Ia memang benar. Sejak saya mengenal erti kemajuan, saya merasa bagaimana Kampung Sagil ini dari tiada elektrik dan air paip sampailah ke tahap sekarang ini, semua kemudahan telah ada termasuk capaian internet hasil inisiatif yang dibawa oleh BN.

    “Jadi untuk kali ini, ibu, saya, suami dan anak-anak yang layak mengundi tetap memilih BN walau siapa pun calonnya kerana saya tahu pilihan itu tidak salah,” katanya.

    Jaminah berkata ibu dan arwah ayahnya menyara hidup dengan menoreh getah untuk membesarkannya 3 beradik sehingga mampu mempunyai tanah sendiri untuk diusahakan dan membina rumah.

    Ayahnya Sarman semasa hidup juga merupakan pengundi BN dan aktif dalam berkempen setiap kali PRU termasuk menjadi peraih undi.

    Jaminah berkata, ibunya penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penerima Bantuan Orang Tua dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

    “Bantuan ini bukti orang tua tidak dipinggirkan. Ia juga banyak membantu saya mengurangkan kos sara hidup kerana saya menjaga ibu saya sekarang,” katanya yang juga menerima BR1M.

    Sementara itu, Ahmad Omar berkata beliau bersyukur dengan kerajaan yang ada, dia sekeluarga dapat menjalani hidup selesa termasuk pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk anak-anaknya yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

    “Tiga daripada 6 anak saya juga kini bekerja dengan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pencen,” katanya yang mempunyai 6 anak berusia lingkungan 17 hingga 38 tahun. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita 100 tahun bangga undi BN sejak PRU pertama "