• Wan Junaidi Tak Akan Biarkan Penduduk Santubong Tanpa Air Bersih

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 29 April 2018
    A- A+

    Menyelesaikan masalah air bersih terus menjadi perhatian calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    "Air bersih merupakan keperluan utama penduduk dan saya mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menjalankan kajian serta mencari sumber air bawah tanah di Kampung Sampadi sejak Januari lepas," katanya.

    Menurutnya, kajian tersebut membuahkan hasil apabila punca air berjaya ditemui dan boleh digunakan penduduk Kampung Sampadi yang merupakan penyelesaian jangka masa pendek bernilai RM600,000.

    Selain itu beliau berkata, telaga tiub dilengkapi sistem penapisan berteknologi tinggi yang dibina di kampung tersebut dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan.


    "Saya juga mengarahkan kajian hidrogeologi dan geofizik dijalankan di seluruh Sarawak untuk memastikan masalah bekalan air bersih khususnya di kawasan luar bandar dapat diatasi secara berperingkat," ujarnya.

    Tambahnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan projek grid air akan dilaksanakan di seluruh negeri termasuk Lundu.

    "Jadi projek telaga tiub ini dijangka dapat mengatasi masalah air untuk jangka masa pendek sementara menunggu projek keseluruhan yang diumumkan Perdana Menteri pada 2016 bernilai lebih RM120 juta siap yang mana kini dalam peringkat perlaksanaan untuk mengatasi masalah jangka panjang," jelasnya.

    Wan Junaidi berkata, justeru pengundi Parlimen Santubong dalam kawasan Tanjong Datu, Demak Laut dan Pantai Damai perlu terus beri mandat lebih besar kepada beliau dan BN untuk terus membawa lebih banyak projek pembangunan.

    "Saya dan BN dibawah kepimpinan PM dan Ketua Menteri mahu lihat Santubong lebih baik berbanding sebelum ini dengan majoriti yang lebih besar diperolehi," kata Wan Junaidi lagi.-Sarawakiana



  • No Comment to " Wan Junaidi Tak Akan Biarkan Penduduk Santubong Tanpa Air Bersih "