• Video: Lebih Sejuta Pekerjaan Baru Daripada Industri Mobiliti

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 26 April 2018
    A- A+
    SERDANG – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan industri automotif bakal berkembang menjadi lebih canggih pada masa depan akan memberi lebih sejuta peluang pekerjaan baharu.

    Katanya, industri mobiliti terhubung akan menjadi pelengkap kepada inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

    Industri baharu ini dijangka akan membuka penempatan kepada kira-kira 480,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) dan 300,000 graduan universiti awam.

    “Teknologi daripada mobiliti terhubung juga dapat meningkatkan ciri-ciri keselamatan kenderaan generasi akan datang seperti sistem untuk memaksa sesebuah kenderaan diperlahankan dalam jarak tertentu dengan kenderaan di hadapan yang sudah pun digunapakai ketika ini.

    “Masyarakat luar bandar juga tidak akan ketinggalan dalam memperoleh manfaat visi mobiliti terhubung termasuk menyokong aktiviti pertanian, kesihatan, perikanan, penternakan, perladangan dan lain-lain.

    “Rakyat juga akan berpeluang membangunkan perniagaan berasaskan logistik melalui pendekatan secara logistik pendanaan masyarakat dan pengangkutan multimodal,” katanya ketika berucap di majlis jerayawara Mobiliti Terhubung dan pelancaran Pameran Auto Malaysia 2018, di sini tadi.

    Tambah beliau lagi, pelbagai jenis perkhidmatan diwujudkan hasil daripada mobiliti terhubung ini.

    “Penambahan jenis perkhidmatan juga akan wujud hasil daripada kemudahan perkongsian perjalanan, pengembara terhubung dan lain-lain. Semua ini akan membuka laluan kepada perniagaan baharu dan menjadi pemangkin kepelbagaian perkhidmatan semasa.

    “Mobiliti terhubung disasarkan akan melalui peralihan dari satu produk kepada perkhidmatan dan dalam jangka panjang mempunyai kapasiti amat besar untuk membuka peluang perniagaan dan pekerjaan bagi mereka yang mengambil peluang ini,” ujarnya.

    Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari.

    Pameran automotif ini berlangsung selama empat hari bermula hari ini itu disertai banyak syarikat automotif terkemuka negara dengan lebih 100 model kenderaan dipamerkan. - SuaraTV


    Subjects:

  • No Comment to " Video: Lebih Sejuta Pekerjaan Baru Daripada Industri Mobiliti "