• Video: KJ Jadi Pekerja Mamak Curi Tumpuan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 20 April 2018
    A- A+

    Pada 10 April lalu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin melancarkan Manifesto Orang Muda BN dikenali Jaminan Orang Muda (JOM BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), khas untuk golongan belia.

    Pengumuman manifesto yang julung kali dibuat oleh BN itu bagi memberi jaminan kehidupan lebih baik untuk orang muda bagi lima tahun akan datang, dan salah satunya adalah Jaminan 2 iaitu BN menjamin akan meningkatkan pendapatan dan kemahiran pekerja muda.

    Selepas muncul dalam rakaman video segar sebelum pelancaran JOM baharu-baharu ini, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ hari ini berkongsi pula satu lagi rakaman video bagi menjelaskan Jaminan 2 yang terkandung dalam Manifesto JOM.

    Menariknya, Khairy yang sememangnya terkenal memiliki bakat terpendam dalam bidang lakonan kali ini membawa watak pekerja kedai Mamak – yang mana ia merupakan tempat sinonim dan lokasi kegemaran rakyat Malaysia.

    Video berdurasi satu minit – menampilkan konsep 1Malaysia – Cina, Melayu dan India (kemungkinan KJ membawa watak India Muslim) memaparkan seorang belia wanita menjelaskan kepada rakannya mengenai inisiatif yang disediakan kerajaan bagi membantu dia mempelajari kemahiran baharu secara dalam talian dan meningkatkan pendapatan.

    “Saya ingin kongsikan satu video berkenaan Jaminan 2 di dalam Jaminan Orang Muda iaitu komitmen bagaimana Barisan Nasional akan meningkatkan pendapatan dan kemahiran pekerja muda.

    “Ia boleh dicapai melalui penyelarasan pasaran gaji dengan penubuhan Fair Works Commission, insentif geran untuk mempelajari kemahiran baharu secara online dan pemberian perisian atau software untuk kerja secara percuma,” kata Khairy menjelaskan bahawa Jaminan 2 akan dikupas secara lanjut dalam masa tiga hari lagi.

    Khairy juga memberi jaminan bahawa kerajaan mendengar keluhan orang muda dan usaha untuk menaikkan gaji akan menjadi antara keutamaan mereka apabila BN diberi semula mandat untuk menubuhkan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Seperti biasa, kreativiti Khairy membawa pelbagai watak dalam menyampaikan mesej kepada rakyat mendapat pujian ramai netizen.-Malaysian Digest



    Subjects:

  • No Comment to " Video: KJ Jadi Pekerja Mamak Curi Tumpuan "