• Tuduhan Tun M jet peribadi disabotaj palsu, tidak berasas – Azharuddin

    Reporter: Admin
    Published: Saturday, 28 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya ada pihak cuba mensabotaj pesawat peribadi yang sepatutnya menerbangkan beliau ke Langkawi semalam adalah palsu dan tidak berasas, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin A. Rahman.

    Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap pesawat Bombardier Challenger CL60 yang didaftarkan di bawah nombor ekor pesawat Malta9H-VFD dan dikendalikan oleh syarikat Vista Jet Limited yang dilaporkan tidak dapat berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Langkawi pada 27 April 2018.

    “Unsur sabotaj terhadap pesawat adalah tuduhan yang serius dan CAAM diarahkan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap sebarang kes yang berkaitan dengan dakwaan tersebut.

    “CAAM telah menjalankan siasatan terhadap tuduhan sabotaj yang dinyatakan pada 28 April yang lalu. Siasatan yang dijalankan termasuk pengesahan dokumentasi pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat, dan siasatan terhadap juruterbang serta kakitangan penyelenggaraan pesawat peribadi Tun Mahathir.

    “Pada 27 April 2018, dokumentasi pesawat yang dijalankan mendapati tiada kecacatan pesawat yang dilaporkan kecuali kebocoran udara dari tayar kiri hidung pesawat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    CAAM juga, katanya, dimaklumkan oleh kakitangan penyelenggaraan bahawa tekanan tayar kiri hidung pesawat adalah rendah. Mereka kemudiannya memeriksa tayar, dan pada pemantauan tekanan tayar, didapati tekanan tayar jatuh 2psi setiap minit.

    Selain itu, CAAM mencatatkan dari log teknikal/perjalanan VistaJet, halaman nombor 55778, bahawa kemasukan dibuat oleh Vista Jet pada 27 April 2018 menunjukkan bahawa terdapat kebocoran udara dari tayar kiri hidung pesawat. Walau bagaimanapun, penggantian tayar tidak dapat dilakukan kerana tiada alat ganti.

    “CAAM juga melakukan pemeriksaan pada tayar kiri hidung pesawat yang dipadankan dan telah disahkan laporannya oleh kakitangan penyelenggaraan pesawat,” katanya.

    Menurut Azharuddin, hasil penyiasatan mendapati bahawa tiada sebarang bukti wujudnya unsur sabotaj. sebaliknya pesawat itu tidak dapat terbang hanya kerana masalah rutin dan teknikal, iaitu kebocoran udara pada tayar kiri hidung pesawat.

    “Tuduhan sabotaj terhadap pesawat adalah sangat serius, dan boleh memberi kesan kepada reputasi penerbangan Malaysia dan negara secara keseluruhannya terutama dalam tempoh pilihan raya umum yang sensitif.

    “Adalah salah dari sudut moral untuk membuat tuduhan tidak berasas dan palsu seperti ini demi kepentingan politik,” katanya.

    Semalam Dr Mahathir mendakwa pesawat peribadi yang sepatutnya menerbangkan beliau ke Langkawi untuk penamaan calon telah disabotaj.

    Bekas perdana menteri itu berkata, perbuatan tersebut bertujuan untuk memastikan beliau tidak dapat hadir pada hari penamaan calon seterusnya memberi laluan mudah kepada calon Barisan Nasional. – theRakyat

    Subjects:

  • No Comment to " Tuduhan Tun M jet peribadi disabotaj palsu, tidak berasas – Azharuddin "