• 'Tsunami Melayu' Mengarut - KJ

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    Sokongan masyarakat Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) adalah tinggi dan tidak akan berlaku ‘Tsunami Melayu’ seperti yang dicanang beberapa pihak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, BN akan terus diberi mandat untuk mentadbir kerajaan kerana memiliki calon yang berkualiti.

    Katanya, spekulasi mengatakan ‘Tsunami Melayu’ bakal melanda menjelang pilihan raya tidak benar kerana masyarakat Melayu memerlukan parti keramat itu untuk terus membela mereka.

    “Sejak daripada dulu masalah di FELDA diselesaikan dengan cepat, malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu peka dengan nasib peneroka. Kerajaan sentiasa mahu membantu bukan hanya insentif berkala tetapi berterusan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rembau Challenge 2018 di Hotel Seri Rembau, di sini, hari ini.

    Hadir sama mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U, Azlanuddin Malik.

    Beliau berkata, peneroka boleh melihat dan menilai perjuangan kerajaan yang merancang pembangunan untuk jangkamasa panjang.

    Khairy yang ditanya mengenai desas-desus akan diletakkan calon Parlimen Port Dickson menegaskan beliau ‘party man’.

    “Saya orang parti dan kalau Datuk Seri Najib minta saya bertanding di mana pun, saya akan pergi. Tetapi saya lebih selesa berada di Rembau kerana sudah dua penggal menang di sini,” katanya.

    Sejak kebelakangan ini timbul spekulasi bahawa Menteri Belia dan Sukan itu akan diletakkan sebagai calon Parlimen Port Dickson yang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Telok Kemang.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Tsunami Melayu' Mengarut - KJ "