• Trump Didakwa Ada Anak Luar Nikah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+


    NEW YORK : Bekas penjaga pintu Menara Trump didakwa menerima bayaran berjumlah AS$30,000 (RM116,250) dari sebuah tabloid dikenali sebagai National Enquirer selepas mendakwa Presiden Donald Trump memiliki anak luar nikah hasil hubungan sulit bersama penjaga rumahnya.

    Menurut laporan akhbar The New Yorker, mereka tidak menemui sebarang bukti kukuh bagi menyokong dakwaan dibuat Dino Sajudin bahawa Trump ialah bapa kepada seorang anak perempuan yang kini sudah berusia 29 tahun.

    Ketua Pengarang National Enquirer, Dylan Howard bagaimanapun mengesahkan pembayaran itu dalam sebuah rencana di laman berita selebriti, Radar Online yang turut dimiliki syarikat sama, American Media Inc (AMI).

    AMI ketika dihubungi mengesahkan bayaran dibuat kepada Sajudin.

    Memetik sumber rahsia dari AMI, penulis Ronan Farrow dari New Yorker berkata, National Enquirer memutuskan untuk menyembunyikan perkara terbabit selepas membeli hak eksklusif kisah itu, khusus melindungi nama baik Trump yang sedang bertanding dalam pilihan raya presiden pada tahun 2016, satu amalan dikenali sebagai 'tangkap dan hapus' di kalangan media Amerika.

    AMI menafikan dakwaan berkenaan dan berkata cerita terbabit tidak diterbitkan kerana tidak memiliki sebarang kredibiliti.

    New Yorker juga melaporkan, sumber dalaman AMI itu percaya amalan 'tangkap dan hapus' berkenaan berjaya melindungi 'kerjasama' di antara Trump dan Ketua Pegawai Eksekutif AMI, David Pecker.- Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Trump Didakwa Ada Anak Luar Nikah "