• TMJ 'Payung' Pengunjung AEON Mall Tebrau Beli-Belah, RM3,000 Seorang

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam membuat kejutan istimewa apabila membayar kesemua barangan yang dibeli oleh pengunjung di AEON Mall Tebrau City di sini.

    Terdahulu, Tunku Ismail dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam yang tiba di pusat beli- belah itu pada sebelah petang secara spontan beramah mesra dengan para pengunjung yang sedang membeli keperluan asas.

    Putera sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah itu kemudian membuat pengumuman untuk membayar kesemua barangan yang dibeli pelanggan menerusi alat pembesar suara.

    Ia disambut penuh gembira dan rasa teruja oleh pengunjung daripada pelbagai kaum yang kemudiannya ‘menyerbu’ pusat beli-belah di tingkat bawah ber­kenaan yang menempatkan pelbagai barangan keperluan asas harian.

    Dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata, beliau bukanlah seorang ahli politik tetapi ikhlas menya­yangi rakyatnya.

    “Saya bukan ahli politik. Saya tidak memerlukan undi. Tetapi saya ikhlas menyayangi rakyat saya. Sentiasa bersama anda Bangsa Johor,” kata Tunku Ismail.

    Biarpun catatan tersebut tidak menyatakan jumlah sebenar yang dibelanjakan oleh Tunku Ismail, namun, tular dalam laman sosial setiap pe­langgan diperuntukkan sebanyak RM3,000 untuk membeli-belah.

    Gambar dan video yang tular di laman sosial itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang teruja dengan kejutan yang dilakukan oleh Tunku Ismail dan ada antara me­reka seakan-akan tidak percaya perkara itu berlaku.

    Menurut seorang pelanggan, Hanis Helmi, apa yang dilakukan oleh Tunku Ismail menunjukkan rasa keprihatinan terhadap rak­yat di negeri ini.

    “Terbaik. Tunku Ismail pedulikan rakyat Johor. Moga Allah murahkan rezeki Tunku Mahkota Johor,” katanya.-Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " TMJ 'Payung' Pengunjung AEON Mall Tebrau Beli-Belah, RM3,000 Seorang "