• 'Tinju Sebenar... Bukan Menari-Nari' - Pacman

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 20 April 2018
    A- A+

    Juara dunia lapan kategori, Manny Pacquiao dan juara bertahan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Lucas Matthysse menjanjikan aksi menarik apabila kedua-duanya bertarung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 15 Julai depan.

    Pertembungan dua petinju terkemuka itu secara tidak langsung mengimbau kembali aksi pertarungan legenda tinju dunia, Muhammad Ali menentang juara Eropah, Joe Bugner di Stadium Merdeka pada Julai 1975.

    Kali terakhir Pacquiao atau digelar Pacman memasuki gelanggang ketika dirinya terlepas gelaran welterweight WBO di tangan petinju Australia, Jeff Horn, kira-kira setahun lalu selepas tewas dalam pertembungan bersejarah kepada Floyd Mayweather pada 2015.

    “Seperti saya katakan, pertarungan ini bakal mempunyai lebih banyak aksi di gelanggang kerana kita tahu Lucas terkenal dengan corak agresif,” kata Pacquiao, 39, katanya dalam sidang media khas mengenai pertarungan itu, hari ini.

    “Saya yakin itu yang akan membezakan pertarungan ini dengan yang pernah kami sertai sebelum ini.

    “Ia tidak akan seperti ‘berlari-lari’ ataupun ‘menari-nari’ dalam gelanggang. Pertarungan ini adalah tinju sebenar dan lebih banyak tumbukan dan bukannya ‘berlari-lari’ dalam gelanggang.”

    Di atas kertas, Pacquiao yang juga senator di negaranya di Filipina mempunyai kelebihan berbanding Matthysse dengan dia mempunyai 59 rekod kemenangan dengan 38 pukulan KO manakala pesaingnya dari Argentina itu memiliki rekod 39 kemenangan dengan 36 pukulan KO.

    Biarpun begitu, Matthysse, 35, berkata dia perlu bersiap sedia untuk mengharungi pertarungan yang dinanti-nantikan itu.

    “Saya mempunyai tumbukan yang padu. Itu adalah (sumber) keyakinan saya tetapi apa yang penting ketika ini keadaan (daripada sudut fizikal dan mental) saya sendiri.

    “Cara saya berlatih di gimnasium juga akan memberikan keyakinan untuk memenangi pertarungan itu,” kata Matthysse atau dikenali sebagai The Machine itu.

    Selain pertarungan antara Pacquiao dan Matthysse, turut berlangsung adalah pertarungan sampingan yang disertai dua petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron dalam kategori Light Heavyweight dan Theena Thayalan (Welterweight).-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Tinju Sebenar... Bukan Menari-Nari' - Pacman "