• Tiada Pihak Ketiga Pengaruhi Perbicaraan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 4 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak membenarkan mana-mana pihak ketiga mempengaruhi perjalanan perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi warga Korea Utara, Kim Jong-nam, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini

    Ini, katanya, bagi membolehkan prosiding kes berkenaan berjalan secara adil mengikut sistem undang-undang sedia ada.

    Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berhubung sama ada kerajaan Korea Utara mendesak untuk mencampuri urusan perundangan negara dalam kes itu.

    Reezal Merican berkata kerajaan tidak menerima sebarang bentuk desakan dari kerajaan Korea Utara untuk turut campur dalam proses perundangan negara berkaitan kes itu.

    “Seperti yang kita sedia maklum, kes ini telah berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb 2017. Kes ini melibatkan seorang mangsa warganegara Korea Utara, Kim Jong Nam dan dua orang suspek wanita masing-masing warganegara Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Vietnam, Doan Thi Huong, 29.

    “Kes ini pada mulanya telah dikemukakan di hadapan Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac 2017 dan seterusnya dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor bagi perbicaraan lanjut,” katanya.

    Reezal Merican berkata perbicaraan bagi kes pembunuhan itu bermula semenjak 2 Okt tahun lalu dan akan berlangsung sehingga bulan depan.

    Katanya, kedua-dua suspek telah diberikan bantuan guaman yang sewajarnya serta kemudahan penterjemah bahasa sepanjang sesi mahkamah berlangsung.

    Beliau turut berkata kementerian berkenaan akan terus memantau perkembangan perbicaraan kes ini dari masa ke masa.

    “Saya dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang ulasan yang selanjutnya mengenai kes ini semasa perbicaraan kes sedang berlangsung kerana dikhuatiri boleh menimbulkan subjudis,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Pihak Ketiga Pengaruhi Perbicaraan "