• Tiada Alasan Jalankan Tanggungjawab Mengundi

    Published: Wednesday, 11 April 2018
    A- A+


    SEGALA tilikan dan ramalan akhirnya terjawab. Tarikh 9 Mei 2018 iaitu pada hari Rabu menjadi tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Dengan tarikh penamaan calon adalah pada 28 April ini, tempoh berkempen bagi PRU-14 ditetapkan selama 11 hari iaitu berakhir pada pukul 11.59 malam 8 Mei ini.

    Perangkaan yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi jumlah pengundi adalah seramai 14.9 juta orang merangkumi

    300,255 pemilih awal dan 3,653 pengundi tidak hadir luar negara.

    Ketika ini, banyak pihak mempersoalkan mengenai tarikh pengundian itu yang jatuh pada hari bekerja namun tiada sebarang kejanggalan sebenarnya dari segi amalan demokrasi di negara ini.

    Secara keseluruhannya, sebanyak empat kali pilihan raya telah diadakan pada hari bekerja, malah Pilihan Raya Umum pertama (PRU-1) 1959 jatuh pada hari Rabu iaitu 19 Ogos 1959.

    Sekiranya kesulitannya adalah mengenai pengundi perlu pulang ke kampung, SPR sudah berulangkali mengingatkan pemilih untuk mengemaskini maklumat tempat mengundi.

    Tanggungjawab mengundi sepatutnya dibuat berdasarkan tempat tinggal pengundi dan bukannya kampung halaman pengundi.

    Berhubung suara-suara yang mempertikaikan tempoh kempen selama 11 hari sebagai terlalu singkat, rungutan itu sudah dijangkakan kerana bermotifkan politik semata-mata.

    Pada tanggal 9 Mei ini, rakyat Malaysia akan buat penentuan dan tiada sebarang alasan patut diberikan sekiranya setiap individu benar-benar mengambil tanggungjawab mengundi dengan serius dan penuh kematangan. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Alasan Jalankan Tanggungjawab Mengundi "