• Tebalnya muka gabungan pembangkang PKR

    Published: Saturday, 14 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR 14 April - Kepemimpinan gabungan pembangkang PKR yang sebelum ini begitu galak menganggap golongan berpendapatan rendah (B40) yang merupakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai ‘pemakan dedak’ ternyata tidak segan menebalkan muka untuk mengekalkan bantuan itu dalam manifesto mereka.

    Ironinya, kepemimpinan gabungan tersebut jelas tidak mempunyai pelan terbaik untuk menyediakan program subsidi bersasar yang amat diperlukan oleh golongan B40 dan hanya mampu menciplak idea kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sememangnya berpegang kepada slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

    Menurut Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai, BR1M adalah satu inisiatif untuk membantu golongan sasar dengan konsep pemberian tunai dan ia hampir sama dengan program subsidi bersasar yang dilakukan negara maju lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

    “Walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidak begitu besar, tetapi ia memberi impak positif bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup golongan B40 dalam jangka masa pendek.

    “Pemberian BR1M juga membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara melalui perbelanjaan yang dilakukan oleh setiap penerima. Kitaran ekonomi ini secara tidak langsung membantu kerajaan untuk meneruskan pemberian subsidi bersasar yang lain pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Menurut Barjoyai, pemberian BR1M kepada golongan B40 boleh dijadikan asas untuk penstrukturan program subsidi bersasar yang lebih berkesan bagi memastikan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat daripada kerajaan.

    Katanya, dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau yakin kerajaan BN telah mengambil tindakan progresif dalam menyerap tekanan ekonomi global sekaligus membuatkan negara mempunyai pendapatan lebih bagi melaksanakan program subsidi bersasar yang lain pada masa akan datang.

    “Apabila gabungan pembangkang PKR mahu menghapuskan GST dan pada masa yang sama mahu meneruskan pemberian BR1M, ia adalah kenyataan yang tidak seimbang kerana negara tidak akan mempunyai lebihan pendapatan tanpa sistem percukaian tersebut.

    “Gabungan pembangkang PKR mahu melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang pernah digunakan suatu ketika dahulu. Dahulu kita tidak mampu memberi BR1M sehinggalah GST diperkenalkan. Kepemimpinan gabungan ini perlu menjelaskan apa perancangan sebenar mereka untuk melaksanakan BR1M ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Tebalnya muka gabungan pembangkang PKR "