• Syarikat Penerbitan Akhbar, Editor Gagal Rayuan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 2 April 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA — Sebuah syarikat penerbitan akhbar dan seorang editor gagal dalam rayuan untuk membatalkan saman fitnah bagi menuntut RM10 juta yang difailkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh tiga hakim iaitu Datuk Rohana Yusuf, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan oleh Sabah Publishing Sdn Bhd dan editor Daily Express, James Sarda.

    Hakim Rohana yang mempengerusikan panel itu berkata mereka menyedari bahawa pembatalan saman adalah perintah serius yang harus dilaksanakan.

    Beliau juga mengarahkan Ismail Sabri membuat pindaan berkaitan pembelaan dalam kenyataan tuntutan mengenai sebab-sebab yang mewajarkan tindakan kerana fitnah di semenanjung dalam masa dua minggu mulai hari ini.

    Pada 9 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan oleh Sabah Publishing dan editornya untuk membatalkan saman fitnah tersebut.

    Ismail Sabri memfailkan saman itu pada Mac 2017 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur High Court kerana mendakwa Sabah Publishing dan editor Daily Express James Sarda secara salah dan berniat jahat telah menerbitkan tiga artikel dalam Daily Express pada 6 Sept, 2016 berkaitan hidangan telur penyu pada satu majlis di Kota Kinabalu, Sabah yang dihadirinya pada 2015.

    Memakan atau memiliki telur penyu adalah menyalahi undang-undang di Sabah.

    Ismail Sabri, yang juga anggota Parlimen Bera, Pahang berkata kata-kata fitnah itu adalah tidak benar, tidak berasas, berniat jahat dan telah mencemarkan reputasinya sebagai pemimpin masyarakat, justeru beliau menuntut perayu memohon maaf dan juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

    Dalam kenyataan pembelaan, Sabah Publishing dan James, menafikan telah mencetak dan menerbitkan atriket-artikel itu secara salah dan berniat jahat.

    Mereka mendakwa bahawa artikel-artikel tersebut yang disiarkan diterbitkan dalam keadaan perlindungan bersyarat tanpa niat jahat.

    Sabah Publishing dan James menyatakan bahawa saman itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan bukannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan berpendapat bahawa saman tersebut boleh difailkan di Kuala Lumpur kerana artikel-artikel yang dipersoalkan juga diterbitkan dalam laman sesawang akhbar berkenaan dan boleh diakses di Semenanjung Malaysia.

    Peguam Ragunath Kesavan mewakili Ismail Sabri sementara Bhag Singh mewakili kedua-dua responden. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Syarikat Penerbitan Akhbar, Editor Gagal Rayuan "