• SPR Wujudkan Syarat Tambahan Bagi PRU-14

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 29 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat penyelarasan terhadap dasar sedia ada dengan mewujudkan syarat tambahan berkaitan penggunaan bahan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata langkah itu dibuat supaya setiap calon dan parti politik bertanding tidak berkempen dengan cara yang boleh menimbulkan hasutan, permusuhan, mengembangkan perasaan jahat dan sebagainya selaras dengan Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Katanya, sebagai badan bertanggungjawab menjalankan fungsi pengurusan pilihan raya, SPR ingin memaklumkan tempoh berkempen bagi PRU-14 bermula pada 28 April hingga 8 Mei tertakluk kepada adanya pertandingan di bahagian pilihan raya berkenaan.

    "Bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan peraturan berkempen, SPR menubuhkan 445 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di seluruh negara.

    "PP-KPR berperanan sebagai membuat rondaan dan memantau aktiviti berkempen calon atau ejen pilihan raya atau parti politik, menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    "Meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberhentikan ucapan, ceramah, syarahan oleh calon atau ejen pilihan raya atau parti politik yang tidak mendapat permit daripada Ketua Polis Daerah, untuk mengawal dan menyelaras pelaksanaan mana-mana aktiviti berkempen.

    "Syarat sedia ada seperti ditetapkan sebelum ini dan peruntukan undang-undang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 masih terpakai kecuali berkaitan syarat tambahan yang dinyatakan.

    "Contoh penyelarasan syarat tambahan bahan kempen bagi PRU Ke-14 adalah seperti berikut:

    1. Permit bahan kempen

    Pemasangan bahan kempen mestilah mempunyai permit untuk mempamerkan kepada orang ramai dalam bahagian pilihan raya ditandingi. Permit bahan kempen dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Negeri tertakluk kepada terma dan syarat ditentukan mengikut Seksyen 24B (4), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    2. Penggunaan gambar pemimpin utama parti politik

    Gambar dihadkan kepada dua pemimpin utama parti politik iaitu presiden dan timbalan presiden (atau setaraf dengannya) bagi parti politik bertanding (berdasarkan kepada penggunaan lambang atau simbol parti politik yang didaftarkan semasa hari penamaan calon).

    Jawatan selain presiden dan timbalan presiden parti tidak dibenarkan.

    Bahan kempen boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua-dua pemimpin utama parti politik.

    3. Gabungan gambar pemimpin utama parti dalam satu bahan kempen

    Hanya dihadkan kepada presiden, timbalan presiden, pengerusi perhubungan negeri Parti, Menteri Besar atau Ketua Menteri dan calon berdasarkan kepada penggunaan lambang serta parti politik yang didaftarkan pada hari penamaan calon.

    Jawatan selain dinyatakan di perenggan di atas adalah tidak dibenarkan sama sekali.

    4. Penggunaan lambang atau simbol parti politik

    Calon bertanding mewakili parti politik dan ingin mengguna pakai lambang atau simbol diminta supaya memastikan lambang politik itu berdaftar dengan SPR.

    Lambang atau simbol parti politik bagi calon bertanding dan parti komponen berdaftar sebagai gabungan atau pakatan yang diwakili calon terbabit dibenarkan untuk dipamer secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya di mana calon bertanding. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " SPR Wujudkan Syarat Tambahan Bagi PRU-14 "