• SPR dijadikan sasaran fitnah

    Reporter: Admin
    Published: Sunday, 29 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR 29 April – Tempoh berkempen selama 11 hari telah mula menunjukkan ombak-ombak kecil yang bakal membawa kepada tsunami fitnah seperti yang pernah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Ia berikutan, sebaik sahaja selesai sesi penamaan calon, kepemimpinan gabungan pembangkang PKR dilihat sudah menyusun langkah menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sasaran berhubung kegagalan menamakan beberapa calon mereka yang jelas disebabkan oleh kecuaian sendiri.

    Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusup menyifatkan bahawa badan bebas yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu akan terus dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pakatan berkenaan bagi menutup kepincangan mereka.

    Katanya, realitinya masyarakat mengimpikan satu jangka masa yang bersih sehingga hari membuang undi selaras dengan kematangan dunia hari ini.

    “Penularan fitnah sememangnya sudah berleluasa sebelum ini tetapi seperti mana sudah dijangka, tempoh berkempen akan menjadi kemuncaknya atau boleh juga kita gelar sebagai tsunami.

    “Apa yang berlaku ada penjelasan yang relevan dikeluarkan oleh SPR. Justeru, mereka yang terlibat perlu mempertimbangkan kewajaran daripada apa yang terjadi dan menggunakan sebaiknya saluran sedia ada untuk tujuan bantahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Antara calon PKR yang ditolak pencalonan ialah Naib Presidennya, Tian Chua yang hilang kelayakan bertanding bagi kerusi Parlimen Batu atas faktor saman, berjumlah RM2,000 yang dikeluarkan Mahkamah Shah Alam kepadanya kerana menghina seorang pegawai polis pada 2014.

    Seorang lagi ialah calon parti berkenaan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, G. Sivamalar yang kemudiannya digantikan oleh Juwairiya Zulkifli kerana masalah alamat dalam kad pengenalan. – UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " SPR dijadikan sasaran fitnah "