• SMK Bandar Samariang Mampu Lahir Cendiakawan ICT

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 7 April 2018
    A- A+

    KUCHING: Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang dalam bidang akademik.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menggesa pelajar sekolah tersebut menyahut saranan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk berjaya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

    Malah menurutnya, setiap pelajar perlu didedahkan dengan ICT supaya merekaa dapat meningkatkan kemahiran sekaligus menguasai bidang tersebut pada peringkat lebih tinggi.

    "Saya berharap SMK Bandar Samariang menjadi sekolah yang mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang ICT pada masa akan datang.

    "Kejayaan yang diperolehi anak-anak kita hari ini akan menjadi pencetus dan pendorong kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang," katanya berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang SMK Bandar Samariang di sini, hari ini.


    Beliau menambah, SMK Bandar Samariang kini mula menunjukkan pencapaian membanggakan sehingga sama tahap sekolah lain disekelilingnya.

    Selain itu menurutnya, ibu bapa juga perlu terus memberi sokongan padu kepada anak masing-masing bagi memastikan keputusan cemerlang dapat dicapai.

    "Sudah pasti setiap pelajar mempunyai impian dan harapan tinggi pada masa hadapan terutama selepas menamatkan pengajian," ujarnya.

    Menurutnya lagi, Sarawak pada masa kini dan pada masa akan datang memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi moden.-Sarawakiana



  • No Comment to " SMK Bandar Samariang Mampu Lahir Cendiakawan ICT "