• Simpan Semua Bukti Pembelian Dalam Talian

    Published: Wednesday, 11 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihati orang ramai supaya menyimpan salinan transaksi pembelian barang dan perkhidmatan dalam talian supaya boleh digunakan sebagai bukti jika berlaku penipuan.

    Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Operasi Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Aminuddin Muhammad, berkata walaupun mangsa penipuan tampil membuat aduan, tindakan selanjutnya sukar diambil jika transaksi yang dibuat gagal untuk dibuktikan.

    Katanya, sebelum membuat sebarang pembelian, buat persediaan untuk menghadapi kemungkinan akan terbabit dengan penipuan.

    "Bila kita ingin beli barang dan perkhidmatan dalam talian, kita letakkan diri kita sebagai seseorang yang mungkin akan ditipu, pertama sekali kenal pasti domain yang menjual barang berkenaan, pastikan ia boleh dipercayai.

    "Kemudian rakam gambar skrin barang atau perkhidmatan yang ingin dibeli dan bukti pembayaran kepada penjual, kenal pasti juga butiran penjual seperti nombor telefon dan nama bank yang terbabit, kemudian simpan sehingga barang diterima.

    "Bila ada semua perkara ini, ia dapat dijadikan sebagai bukti dalam Tribunal Tuntutan Pengguna, jika tiada bukti, amat sukar untuk kita ambil tindakan terhadap pihak yang didakwa melakukan penipuan," katanya ketika ditemui selepas taklimat pelanggaran hakcipta dan cetak rompak digital di Theatrette, Balai Berita, di sini, hari ini.

    Aminuddin berkata, KPDNKK sudah menganjurkan pelbagai kempen untuk membentuk kesedaran mengenai isu penipuan pembelian dalam talian.

    "Apa yang penting adalah sikap pengguna itu sendiri, jangan biarkan diri menjadi sasaran mudah pihak yang tidak bertanggungjawab, jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu menarik.

    "Kebanyakkan kes penipuan berlaku kerana pembeli teruja untuk mendapatkan barangan berjenama dengan harga yang amat rendah, ada kes yang berlaku pengguna membeli sebuah telefon bimbit tetapi yang diterima adalah batu lesung dan kunci mangga.

    "Selain itu , cuba minimumkan risiko untuk ditipu, jalankan urusniaga secara tunai atau COD (Cash On Delivery) dan beli barang dan perkhidmatan dengan platform yang memiliki rekod dan komen yang baik daripada pengguna," katanya. - BH online

    Subjects:

  • No Comment to " Simpan Semua Bukti Pembelian Dalam Talian "