• Serang Atau Perang? Dunia Mulai Dihantui Kebimbangan

    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+

    LONDON: Negara-negara barat masih belum memutuskan sama ada mereka akan melancarkan serangan ke atas Syria ketika United Kingdom telahpun menghantar kapal selamnya ke perairan negara tersebut.

    Serangan ke atas kerajaan Bashar al-Assad yang dijangka seawal malam ini, boleh menjadi perang lebih buruk jika Rusia mengotakan kata untuk mempertahankan sekutunya dan Iran pula memilih untuk campur ta­ngan

    Rusia telah memberitahu Israel supaya tidak memburukkan lagi keadaan ketika negara Yahudi itu menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan Iran bertapak di Syria.

    Israel dipercayai melancarkan beberapa serangan udara di Syria sejak 2013.

    Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Vladimir Putin kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam perbualan te­lefon.

    Sebarang serangan Israel ke atas Syria boleh mengundang campur tangan Iran yang sebelum ini menyaksikan tujuh tentera maut selepas jet pejuang regim Yahudi men­yerang pangkalan udara di negara itu.

    Dalam perkembangan sama. Perdana Menteri Britain, Theresa May dijangka mengadakan mesyuarat Kabinet tergempar bagi mencapai keputusan muktamad untuk menyertai tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pe­rancis memerangi Syria.

    May sebelum ini mengarahkan kapal selam Britain berge­rak pada jarak lingkungan peluru berpandu Tomahawk yang mampu sampai ke Syria sebagai persediaan terhadap sebarang serangan.

    Namun menurut BBC yang memetik sumber yang tidak dinamakan, Britain mungkin menyertai tindakan ketenteraan di Syria sebelum persetujuan Parlimen dicapai.

    May menyalahkan kerajaan Syria pimpinan Bashar sebagai bertanggungjawab dalam serangan itu ketika Rusia dan Syria menafikan pembabitan mereka.

    Sementara itu, Washington berkata, Presiden AS, Donald Trump juga belum menetapkan tarikh bagi sebarang tindakan walaupun mengeluarkan kenya­taannya di Twitter bahawa peluru berpandu Amerika akan sampai ke Syria dan mengingatkan Rusia supaya bersedia.

    Bagaimanapun, penegasan Trump itu diredakan oleh Se­tia­usaha Akhbar White House, Sarah Sanders yang mendakwa Presiden masih mempunyai beberapa pilihan di Syria dan tidak semestinya melalui ketenteraan.

    Dalam perkembangan lain, tentera Syria didakwa telah mengosongkan bangunan pertahanan yang penting di Dam­syik kerana bimbang menjadi sasaran serangan Barat.

    Badan pemantau hak asasi manusia Syria berkata, selain itu, tentera turut mengosongkan lapangan udara tentera serta pangkalan elit Divisyen Keempat dan Pengawal Republikan di luar Damsyik.

    Ketika situasi semakin me­runcing, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres melahirkan kebimbangan terhadap apa yang berlaku dan meminta mereka yang terlibat mengelak situasi di luar kawalan.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pada itu ber­kata, kira-kira 500 orang pen­duduk Douma diberikan ra­watan kerana mempunyai tanda dan simptom yang konsisten dengan terdedah kepada kimia bertoksik.

    Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendakwa memiliki ‘bukti’ tentang serangan senjata kimia dilakukan Syria dan akan mengumumkan tindak balasnya tidak lama lagi.– AGENSI/REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Serang Atau Perang? Dunia Mulai Dihantui Kebimbangan "